KUNDASANG -- Hajat seorang pelancong dari Jepun untuk menjejak kaki ke puncak Gunung Kinabalu tidak kecapaian apabila dia pengsan dan meninggal dunia di laluan Laban Rata awal pagi semalam.
Pada kejadian jam 2.45 pagi itu, Nagaoka Yoshiyuki, 64, didapati tidak sedarkan diri ketika berada di laluan tersebut oleh pemandu pelancong, kata Ketua Balai Polis DSP Abdul Rahman Kassim.
Menurut beliau Nagako baru sahaja hendak mula mendaki ketika dia jatuh pengsan.
“Pemandu pelancong serta merta memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) kepada mangsa tetapi tidak berjaya,” kata Abdul Rahman ketika dihubungi semalam.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Ranau selepas berjaya dibawa turun pada jam 12.15 tengahari. Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut tetapi akan menjalankan siasatan lanjut.