Abu Bekir bersama isteri keduanya yang berasal dari Rusia.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mahmud Abu Bekir didakwa membelanjakan lebih daripada RM700,000 dengan salah satu kad kreditnya antara Disember tahun lalu dan Jun tahun ini.
Bekas isterinya Shahnaz A. Majid ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini mendedahkan bahawa dia menggunakan Kad Platinum American Express di pelbagai tempat, termasuk Harrods Department Store, Ferrari Shop dan Wellington Hospital di London, di sebuah butik jam tangan di Starhill Kuala Lumpur serta di Sepanyol dan Perancis.
Shahnaz, 48, berkata penyata akaun antara Januari dan Jun tahun ini mendedahkan bahawa jumlah yang dibelanjakan ialah RM166,332, RM148,763, RM102,236, RM172,193, RM39,454 dan RM153,539.
Menjawab soalan peguamnya Dr Rafie Mohd Shafie, Shahnaz berkata Harrods adalah sebuah kedai mewah dan harga bagi set cadar di sana sekitar £ 2,000 (RM9,765).
"Berdasarkan penyata ini, dia membelanjakan RM6,175 pada di Ferrari Shop pada 6 Januari, RM117,919 di Harrods pada 14 Januari, RM37,040 di Wellington Hospital pada 17 April dan membeli sebuah jam tangan berjenama dengan harga RM123,800 di Starhill Kuala Lumpur pada 25 Mei," katanya.
Beliau berkata penyata CIMB Bank Islam cawangan Kuching milik bekas suaminya mendedahkan bahawa dia mempunyai RM5.75 juta dalam akaunnya pada 30 Jun, sambil menambah bahawa RM3 juta adalah dalam deposit tetap.
Shahnaz, yang merupakan kakak kepada penyanyi jazz Datuk Sheila Majid, memberi keterangan dalam perbicaraan beliau untuk permohonan menuntut RM300 juta dalam harta sepencarian dan RM100 juta hadiah (mutaah) sebagai bayaran menyelesaikan perceraian.
Shahnaz juga menuntut 50% daripada semua aset yang dimiliki oleh Abu Bekir Mahmud, yang merupakan anak kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Ini termasuklah kereta-kereta mewah, rumah-rumah di pelbagai lokasi, tanah di Sarawak dan saham.
Pasangan itu berkahwin pada 9 Januari 1992 dan bercerai pada 11 Mei tahun lepas. Mereka mempunyai seorang anak lelaki yang dilahirkan pada tahun 1993.
Bekir Mahmud, 49, yang turut hadir pada prosiding semalam diwakili oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Saadiah Din.
Hakim Syarie Muhamad Abdullah menolak permohonan oleh Zainul Rijal untuk menghalang wartawan daripada melaporkan jumlah wang yang terlibat atas sebab-sebab keselamatan.
Perbicaraan seterusnya pada 26 dan 28 November.