Kita semua tahu bahawa mee segera mengandungi bahan pengawet dan sering dinasihatkan untuk mengelakkan dari kerap memakannya.
Kita juga pernah terbaca di dalam internet mengenai mee segera yang disalut lilin dan boleh menyebabkan kanser sekiranya lilin tersebut terkumpul di dalam tubuh kita.
Walaupun mitos ini telah dibuktikan palsu - kerana lilin turut ditolak melalui sistem pencernaan dan turut dibuang keluar serta tidak membentuk lapisan kekal di dalam perut, namun laporan berita dari Boston telah menunjukkan bagaimana keadaan mee segera yang dicerna dalam perut kita.
Laporan daripada
WCVB tentang bagaimana makanan dihadamkan oleh Dr Braden Kuo dari Jabatan Gastroenterologi di Hospital Massachusetts membolehkan sendiri anda untuk melihat apa yang berlaku selepas anda memakan makanan segera itu.
Sebuah rakaman video 32-jam menggunakan 'pil pintar' dengan kamera yang ditelan semasa makan menunjukkan keadaan perut dalam menghadamkan mee segera.
Perbandingan turut dibuat bagaimana perut menghadamkan mee biasa buatan tangan dengan mee segera.
Hasilnya selepas dua jam, perut masih kelihatan bekerja keras untuk memecahkan mee segera, sedangkan mee biasa mula dipecahkan pada minit ke 20 dan hadam sepenuhnya selepas 1 hingga 2 jam.
WCVB berkata bahawa kajian ini tidak boleh menyimpulkan bahawa makanan segera yang diproses adalah berbahaya, kerana ia adalah terlalu sedikit untuk disahkan, bagaimanapun lebih banyak penyelidikan dirancang untuk mendedahkan sama ada pencernaan perlahan akan menjejaskan jumlah nutrien yang diserap pada badan.
"Ia masih tidak sepenuhnya dapat menjelaskan kesan lilin pada saluran GI (gastrousus). Banyak perkara adalah lebih baik dalam kesederhanaan. Saya fikir makanan segera yang diproses masih perlu disiasat lebih lanjut," kata Dr Kuo.
Apabila ditanya jika dia masih akan memakan mee segera selepas penemuannya ini, beliau mengakui masih akan memakannya tetapi pada kadar yang sederhana.