Dr Burhanuddin ketika mengetuai perwakilan Malaya ke Persidangan Asian Relations Conference di New Delhi pada tahun 1947.Ketika inilah bendera Sang Saka Malaya kali pertama dikibarkan di luar negara.
Sejak tahun lalu aku rasakan kemerdekaan di negara kita Malaysia yang dicintai ini semakin mempunyai nilai tambah. Tidak seperti sebelum-sebelum ini, apabila disebut tentang kemerdekaan, apa yang tergambar di minda hanyalah laungan 'Merdeka' oleh Tunku Abdul Rahman. Sesekali terbayang juga nama-nama pejuang kemerdekaan lain seperti Tok Janggut, Tok Gajah, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela namun yang lebih sinonim di dalam benak kepala ini selepas lebih 20 tahun mengenali 'merdeka' dari kaca TV adalah Tunku Abdul Rahman.
Namun sejak isu 'Mat Indera' dimulakan pada edisi merdeka tahun lalu, aku mula menyelam sendiri erti sejarah kemerdekaan yang sebenar. Tidak hanya bergantung pada media massa dan internet, malah aku turun sendiri bersama adik-beradik SAMM mencari waris Mat Indera di bumi Johor sehingga membawa pertemuan kepada adik bongsu Mat Indera, Pak Johan
(lebih manis, pertemuan kami ini lebih awal daripada pertemuan Mat Sabu kepada Pak Johan selepas itu). Hasil pertemuan itu akhirnya aku catat dalam 5 siri 'XPDC Menjejak MAT INDERA'.
XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri 1 : Kakak MUHYIDDIN Kekasih MAT INDERA
XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri 2 : Perbezaan MAT INDERA Dan Hj Mohd Yassin
XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri 3 : Isteri Kau..Isteri Aku, Punca Serangan BUKIT KEPONG
XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri 4 : Fakta MENGEJUTKAN Disebalik Serangan Bukit Kepong
XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri Akhir : Dihina Sehingga Ke AKHIR HAYATNYA
Pada kemerdekaan tahun ini isu yang hangat diperkatakan ialah isu bendera 'Sang Saka Malaya'. Aku tidak berminat dengan isu hendak tukar bendera atau tidak, tetapi yang lebih berminat aku apakah sejarah di sebalik bendera ini. Berdasarkan pembacaan aku, ada beberapa fakta yang kurang tepat daripada penulis pro-kerajaan BN mahupun Pakatan Rakyat. Jadi kepada semua pembaca, jadikan penulisan ini untuk perbincangan ilimiah dan bukannya politik.
Pertama sekali, rekabentuk Sang Saka Malaya yang dibawa oleh beberapa peserta perhimpunan Janji Demokrasi pada malam itu bagi aku kurang tepat. Rekabentuk bendera yang dibawa oleh mereka ialah bendera merah putih bersama bulan dan bintang 11 bucu. Manakala rekabentuk Sang Saka Melaya yang diumumkan pada 11 November 1947 di Singapura adalah berwarna merah putih dengan 12 simbol bintang berwarna kuning yang melambangkan 12 negeri di bawah Tanah Melayu. Bendera itu kemudiannya dikibarkan buat pertama kali di Bangunan
Malayan Democratic Union, Singapura.
Apa maksud bintang 11 bucu pada bendera ini?.
Gambar Sang Saka Malaya yang sebenar.
Menurut blogger Tukar Tiub, Hishamuddin Rais bendera ini kemudiannya dikibarkan semasa Persidangan Afro Asia 1947 di New Delhi. Jika beliau maksudkan persidangan
Asian–African atau
Afro–Asian Conference atau lebih dikenali sebagai Persidangan Bandung ia agak kurang tepat. Persidangan Afro Asia pertama kali diadakan pada 18 April 1955 di Bandung, Indonesia.
Yang lebih tepat ialah persidangan Sidang Serantau ataupun
Asian Relations Conference Asia pada penghujung tahun 1947 di New Delhi. Menurut buku karangan Kamarudin Jaffar,
Dr. Burhanuddin Al Helmy: Politik Melayu dan Islam, Dr Burhanuddin telah mengetuai perwakilan Malaya dalam persidangan ini.
Laporan KLpos juga mengesahkannya seperti di bawah:
Kehadiran Dr Burhanuddin yang memegang jawatan Penasihat PKMM telah membuka peluang baginya berkenalan dan berbincang tentang gerakan-gerakan menentang penjajahan bersama-sama pemimpin kemerdekaan negara-negara Asia.
Berdasarkan sumber maklumat yang terhad, beberapa kesimpulan dapat dibuat iaitu Bendera Malaya yang pertama direkabentuk pada tahun 1947 tetapi rekabentuknya tidak sama seperti yang dibawa oleh peserta Janji Demokrasi tempohari. Kedua berdasarkan laporan dan rujukan KLpos, bendera ini juga dikibarkan di luar negara oleh wakil Malaya iaitu Dr Burhanuddin juga pada 1947.
Bagaimanapun isu ini masih terbuka jika ada bukti gambar dan dokumentasi lain. Perbincangan sentiasa terbuka untuk generasi muda mengenali sejarah tanah air Malaysia yang dicintai ini.