PETALING JAYA: Kebanyakan rakyat Malaysia akan memberi laluan kepada ambulans yang menghidupkan siren kecemasan.
Walau bagaimanapun, ramai telah menyuarakan rasa curiga mereka sama ada benarkah ambulans yang memasang siren ini benar-benar di dalam keadaan kecemasan atau pemandu mereka hanya menyalahgunakan siren itu untuk keluar daripada kesesakan lalu lintas.
Seorang pengguna jalan raya dari Klang yang menggunakan nama samaran
pcdoctor berkata beliau pernah terserempak dengan sebuah ambulans dimana pemandunya hanya menghidupkan siren apabila menempuhi kesesakan lalu lintas dan kemudian memandu pada kadar normal selepas dia melepasi kesesakan.
"Saya berada di belakangnya! Ia bukannya kecemasan. Dia hanya mahu melepasi kesesakan lalu lintas," katanya.
Daniel, berasal dari Miri berkata pernah melihat seorang pemandu ambulans menghidupkan siren semasa kesesakan lalu lintas di bandar itu dan berhenti di gerai goreng pisang untuk membeli makanan ringan.
Seorang pelatih kecemasan Sheila Tan, 23, juga pernah merasakan pengalaman bersama pemandu ambulans yang menyalahgunakan siren kecemasan.
Dia menaiki ambulans yang sedang menghantarnya pulang ke rumah ketika pemandu itu menghidupkan siren melalui kawasan yang mengalami kesesakan lalu lintas.
"Saya terkejut kerana selama ini merasakan siren kecemasan yang berbunyi di atas jalan raya adalah kecemasan sebenar. Saya berasa ditipu," kata Tan.
Menjawab kepada isu ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada pemandu ambulans supaya tidak menyalahgunakan siren kecemasan jika bukan untuk tujuan sebenar.
"Kami telah mengeluarkan peringatan serta mengarahkan hospital dan pemandu mereka tidak menyalahgunakan siren mereka. Kami akan sentiasa memeriksa dari masa ke semasa perkara ini," kata Liow.
Kementerian juga telah mengeluarkan satu pekeliling kepada pemandu ambulans pada tahun 2007, yang menekankan bahawa peraturan lalu lintas juga perlu dipatuhi ambulans walaupun mereka sedang di dalam kes kecemasan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan, menasihati rakyat Malaysia untuk sentiasa memberikan laluan kepada ambulans, walaupun keadaan mereka yang mencurigakan.
"Pengguna jalan raya tidak mungkin dapat membuktikan sama ada ambulans itu berpura-pura semasa kesesakan lalu lintas," katanya.
Beliau turut menambah bahawa pengguna jalan raya yang mempunyai alasan-alasan yang kukuh bagi aduan penyalahgunaan tersebut perlu melaporkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan, syarikat atau hospital yang membekalkan ambulans berkenaan.
Kredit - TheStar