Rumah Goh Woan Tyug salah seorang Ahli jawatankuasa Gabungan NGO Pengerang telah disimbah dengan cat merah pagi tadi. Kereta miliknya juga mengalami kerosakan akibat disimbah dengan asid.
Jenayah yang sama ini pernah terjadi kepada Setiausaha PAP (Persatuan Anak Pengerang) pada bulan April lalu apabila restoran miliknya disimbah dengan cat merah di hadapan pintu masuk utama. Dipercayai bahawa perilaku jenayah ini dilakukan oleh kumpulan yang sama.
Kepada yang tidak mengenali mereka, Gabungan NGO-NGO di Pengerang ini terdiri daripada Pengerang Prihatin, Angry Lobster, Save Our Pengerang, Ahli Jawatankuasa Bertindak Penduduk-penduduk Pengerang dan Persatuan Anak Pengerang .
Gabungan ini menuntut ketelusan dan jaminan daripada pihak kerajaan negeri Johor berkaitan hak-hak penduduk kampung yang terlibat dengan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia atau RAPID (Refinery And Petrochemical Integrated Development). Semenjak projek ini diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2011, tiada sebarang ketelusan dan jaminan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada penduduk kampung yang terlibat berkaitan hak-hak mereka.
Banyak usaha yang telah dilakukan oleh penduduk kampung melalui NGO masing-masing bagi meluahkan pendapat dan pandangan mereka. Antaranya ialah menghantar memorandum kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Menteri Besar Johor, Perdana Menteri dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Selain itu, referendum kepada sidang Parlimen juga telah dilakukan. Namun, suara rakyat masih tidak diberi perhatian oleh pihak kerajaan negeri. Bagi pihak kerajaan negeri dan pusat mereka lebih berminat dalam menyentuh isu pembangunan dan keuntungan ekonomi negara berbanding nasib dan masa depan penduduk kampung yang masih tiada kepastian.
Gabungan NGO Pengerang yang dipengerusikan oleh Saudari Anis Afida binti Mohd Azli bersama rakan-rakan yang lain akan meneruskan matlamat dan komited dalam memperjuangkan ketelusan dan jaminan hak penduduk kampung sehingga nasib mereka terbela.