GEORGE TOWN - Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) telah mengesahkan bahawa abu mayat M. Nagamah yang telah diambil oleh pegawai-pegawai JAIPP minggu lepas telah memeluk Islam pada November 2006.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim dalam satu kenyataannya berkata siasatan awal seperti yang dilaporkan kepadanya oleh JAIPP dan Jabatan Mufti negeri menunjukkan bahawa wanita berusia 64-tahun ini telah memeluk Islam Jabatan Agama Islam Seberang Perai Selatan (SPS). Proses ini telah diselia oleh Ustaz Anuar Ismail.
Nagamah @ Mariah Abdullah telah memeluk agama Islam selepas berkahwin dengan Ibrahim Noyan dan mempunyai sembilan orang anak yang telah didaftarkan sebagai orang Islam oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Ia telah dilaporkan meninggal dunia pada 14 Ogos lalu di Hospital Sungai Bakap, dan mayatnya kemudian dibakar oleh ahli keluarganya di Krematorium Batu Berapit pada hari yang sama.
Pegawai JAIPP kemudiannya telah pergi ke krematorium tersebut dan mengambil abu mayat tersebut tanpa persetujuan ahli keluarga.
Pihak keluarga si mati bertegas mengatakan bahawa Nagamah adalah seorang penganut Hindu dan telah membuat banyak laporan polis terhadap JAIPP serta Jabatan Mufti negeri.
"Jabatan Agama Islam SPS juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama dia meninggal dunia manakala keluarganya juga telah melakukan perkara sama. Oleh itu, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat," kata Abdul Malik.
*******************************************
Sebenarnya kemelut status agama M.Nagamah ini sudah lama berlaku. Ia mula ditimbulkan sejak si mati masih hidup lagi seawal tahun 2007. Pada hari Sabtu, 23 Febuari 2007, akhbar The Star telah menerbitkan laporan berita pada muka surat 10 seperti di bawah.
10 siblings want to be listed as Hindus in their MyKad
(10 adik beradik mahu disenaraikan sebagai beragama Hindu dalam MyKad mereka)
Mereka telah mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, kerana 10 adik-beradik ini dinyatakan sebagai beragama Islam dalam MyKad mereka dan mereka mahu menukar status itu kepada agama Hindu. Menurut mereka walaupun bapa mereka Ibrahim Noyah, 67, beragama Islam namun mereka telah membesar dengan mengamalkan ajaran agama Hindu.
Pada 16 Febuari sebelum itu mereka telah mengemukakan pengakuan bersumpah di Mahkamah Majistret Seberang Perai Selatan yang mengaku bahawa mereka telah mengamalkan agama Hindu sejak lahir.
Mereka juga masing-masing telah berkahwin dengan pasangan penganut agama Hindu (walaupun tidak seorang pun telah mendaftarkan perkahwinan mereka itu).
Dalam laporan yang sama mengatakan bahawa bapa mereka Ibrahim Noyah pada asalnya telah berkahwin dengan seorang wanita Islam , Sabariah, yang telah meninggal dunia pada tahun 1958. Selepas itu Ibrahim telah berkahwin dengan jirannya M.Nagamah (seorang penganut Hindu) dan tidak mendaftarkan perkhawinan itu.
He then married M.Nagamah but did not require her to convert
(Beliau kemudian telah mengahwini M.Nagamah tetapi tidak mensyaratkannya untuk menukar agama)
Membaca laporan ini sungguh memilukan hati mana-mana penganut Islam kerana bagaimana seorang bapa yang beragama Islam rela dan membenarkan kejadian seperti ini berlaku. Pada gambar yang disertakan dengan laporan The Star turut menunjukkan Ibrahim turut bersama dalam kumpulan adik-beradik itu (dan di dalam laporan itu tidak pula melaporkan mengalami apa-apa kecacatan)
Tiga hari kemudiannya, pada 27 Febuari 2007 di muka surat 14 akhbar yang sama melaporkan:
Parents of Hindu sibblings want to stay as Muslims
(Ibu-bapa kepada adik-beradik Hindu mahu kekal sebagai Muslim)
Menurut laporan akhbar ini Ibrahim Noyah, bapa kepada adik-beradik tersebut yang mengalami kecacatan buta penglihatan (pada laporan 24 Febuari tidak menyatakan langsung keadaan Ibrahim yang buta) menyatakan bahawa:
He was still a Muslim and that his wife M.Nagamah had converted to Islam in 2005 and assumed the name Mariah Abdullah.
(Beliau masih seorang Muslim dan isterinya M.Nagamah telah pun memeluk agama Islam pada tahun 2005 dan menggunakan nama Mariah Abdullah)
Dua laporan ini sahaja sudah bercanggah dan memeningkan!.
Laporan sebelum ini mengatakan bahawa
M.Nagamah tidak menukar agamanya. Ini bermakna Ibrahim merelakan isterinya kekal sebagai seorang Hindu sebelum berkahwin, tetapi lapuran kedua pula menyatakan sebenarnya M.Nagamah telah memeluk Islam pada tahun 2005. Dan laporan terbaru, selepas M.Nagamah meninggal dunia, JAIPP mengatakan beliau teleh memeluk agama Islam pada tahun 2006!.
Mana yang betul?.
M.Nagamah ini tidak menukar agama?
M.Nagamah telah memeluk Islam pada 2005?
M.Nagamah telah memeluk Islam pada 2006?
Sejak tahun 2007 selepas laporan isu status 'agama' ini ditimbulkan kenapa tiada sebarang tindakan susulan dari semua pihak?. Mana pihak yang bertanggung jawab?.
Akhirnya selepas M.Nagamah meninggal dunia pada 14 Ogos lalu, (selepas 6 tahun sejak kali pertama isu ini ditimbulkan) barulah pihak Jabatan Agama Islam melakukan tanggungjawab mereka untuk 'menyempurnakan' jenazah si mati.
Adakah tanggungjawab JAIPP hanya sekadar ketika proses 'memeluk Islam' dan selepas itu ketika 'proses kematiannya' sahaja?. Bagaimana dengan bimbingan hidup M.Nagamah sejak bermulanya beliau memeluk Islam, adakah ada perhatian dan pemantauan dilakukan?.