Sebanyak 18 laporan polis telah dibuat oleh sekumpulan penganut Hindu terhadap Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) kerana merampas abu mayat seorang wanita yang dikatakan seorang Muslim tanpa dokumentasi yang betul.
Satu laporan telah dibuat di balai polis Nibong Tebal oleh anak si mati M Kamasanthren bersama 17 saudara-mara lain dan rakan-rakan keluarganya.
Dalam laporannya, Kamasanthren berkata keluarganya menerima maklumat melalui telefon dari krematorium pada 14 Ogos lalu bahawa beberapa orang pegawai yang mendakwa diri mereka daripada JAIPP mahu mengambil abu mayat ibunya, M Nagamah.
Bapa saudaranya R Raja telah bercakap dengan pihak krematorium di telefon dan menyatakan bahawa keluarga mereka tidak akan membenarkan JAIPP untuk berbuat demikian.
Selagi pihak JAIPP tidak melalui proses undang-undang, selagi itu pegawai mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengambil abu mayat ibunya yang sah menjadi kepunyaan keluarga mereka.
"Akhirnya pegawai JAIPP telah bertegas mahu mengambil abu mayat ibu. Malah sebenarnya mereka telah mencuri mayatnya dari kami," kata Kamasanthren, 46, yang berasal dari Sungai Jawi.
"Ibu saya dan seluruh keluarga saya adalah rakyat Malaysia dan hak-hak dan kepentingan kami perlu dilindungi oleh perlembagaan persekutuan dan undang-undang Malaysia.
"Perbuatan mencuri abu mayat ibu saya adalah secara terang-terangan menyalahi undang-undang dan dengan jelas melanggar hak asasi kami yang dijamin dalam Perkara 11 terhadap kebebasan beragama," tegas beliau.
Kamasanthren berkata beliau membuat laporan polis kerana mahu polis untuk menyiasat perkara itu, sambil menambah bahawa beliau mahu masalah yang berlaku dengan JAIPP dapat diselesaikan "secara baik" supaya dia boleh menjalankan upacara pengebumian mengikut upacara Hindu sebagai anak sulung, pada 28 Ogos ini.
Upacara yang dikenali sebagai majlis 'Karumakirei' biasanya akan diadakan selepas 14 hari kematian, di mana abu mayat akan ditaburkan ke dalam sungai yang berdekatan.
M Nagamah, yang berasal dari estet Bryam telah meninggal dunia pada 14 Ogos lalu dan mayatnya telah dibawa pulang dari hospital Sungai Bakap.
Menurut keluarganya, mereka telah bersedia untuk menjalankan upacara pengebumian Hindu kerana dia hidup sebagai seorang Hindu dan meninggal dunia seorang Hindu.
Walau bagaimanapun, pegawai JAIPP datang ke rumahnya selepas kematian beliau dan menuntut keluarga mereka untuk menyerahkan mayatnya untuk dijalankan pengebumian sebagai seorang Muslim, kata Kamasanthren.
"Pihak keluarga enggan memberikannya kerana pegawai-pegawai tersebut tidak memberikan keterangan yang lengkap dengan dokumen terhadap tuntutan itu. Jadi, Nagamah telah dibakar mengikut upacara agama Hindu di krematorium Batu Berapit".
JAIPP diberitahu untuk pergi ke mahkamah sivil
Penasihat Hindraf Kebangsaan N Ganesan, yang turut menemani anak mendiang ke balai polis pada hari Ahad lalu mendakwa kejadian itu jelas mendapat kebenaran atasan kerana pegawai polis turut mengiringi pegawai JAIPP di krematorium.
Ganesan mempersoalkan apakah undang-undang yang digunakan oleh pihak berkuasa dan JAIPP yang membolehkan mereka memerintahkan krematorium dan keluarga untuk menyerahkan abu mayat kepada mereka.
Beliau berkata, berdasarkan perlembagaan persekutuan, Kamasanthren dijamin haknya untuk mengamalkan amalan agamanya dan melaksanakan upacara terakhir untuk ibunya.
Ini adalah salah satu kewajipan yang paling penting bagi seorang anak kepada kedua ibu bapanya dalam agama Hindu, sambil menuduh JAIPP bertindak
"secara tidak adil dan dengan sewenang-wenangnya melanggar semua hak".
"Jika JAIPP merasakan bahawa mereka mempunyai hak ke atas abu mayat itu, mereka perlu pergi ke mahkamah sivil yang melindungi hak-hak masyarakat bukan Islam mengenai perkara ini.
"Pengisytiharan oleh Mahkamah Syariah tidak terpakai kepada orang bukan Islam, oleh itu ini boleh menyebabkan (tindakan) JAIPP sebagai mencuri," tambah beliau.
Malaysiakini gagal untuk mendapatkan komen dari JAIPP atau mufti negeri Hassan Ahmad.