TOKYO, - Mutasi genetik telah berlaku pada tiga generasi rama-rama berhampiran bekas loji nuklear Fukushima, menurut saintis pada Selasa (14/8/2012). Ini sekaligus meningkatkan kebimbangan pencemaran radiasi ini akan turut menjejaskan spesies lain.
Dianggarkan 12 peratus daripada larva rama-rama rumput yang telah terdedah kepada radiasi selepas bencana tsunami ini telah melahirkan spesies yang abnormal, mempunyai sayap yang lebih kecil dan mata yang rosak, kata penyelidik.
Serangga ini telah dibesarkan di luar zon loji yang musnah dan 18 peratus daripadanya mengalami masalah yang serupa, kata Joji Otaki, Profesor Madya di Universiti Ryukyu di Okinawa, barat daya Jepun.
Angka itu meningkat kepada 34 peratus pada generasi ketiga rama-rama, walaupun salah satu daripada pasangan rama-rama ini tidak terjejas kepada kesan radiasi.
Perbandingan rupa asal rama-rama ini dengan rupa selepas mengalami mutasi genetik (dalam kotak)
Para penyelidik telah mengumpulkan 240 rama-rama lagi di Fukushima pada September tahun lepas, enam bulan selepas bencana. Keabnormalan yang dicatatkan adalah pada tahap 52 peratus dan merupakan "nisbah dominan tinggi", kata Otaki kepada AFP.
Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam Laporan Saintifik, jurnal penyelidikan dalam talian daripada penerbit
Nature.
Otaki kemudian menjalankan ujian perbandingan di Okinawa apabila mendedahkan rama-rama normal dengan tahap radiasi yang rendah, dan keputusan menunjukkan kadar keabnormalan yang sama, katanya.
"Kami telah mendapat kesimpulan yang kukuh bahawa sinaran yang dilepaskan dari loji Daiichi Fukushima merosakkan gen rama-rama," kata Otaki.
Tsunami yang melanda Jepun pada Mac 2011 telah menggagalkan sistem penyejukan di loji kuasa nuklear Daiichi Fukushima lalu menyebabkan tiga reaktor nuklear musnah. Ini merupakan bencana atom terburuk di dunia sejak 25 tahun lalu.
Penemuan ini menimbulkan kebimbangan ke atas kesan jangka panjang kebocoran radiasi kepada penduduk yang telah terdedah apabila radiasi ini tersebar ke seluruh kawasan yang luas dan memaksa beribu-ribu penduduk untuk berpindah.
Terdapat dakwaan kesan pendedahan nuklear ini akan mempengaruhi beberapa generasi seperti yang berlaku kepada penduduk Hiroshima dan Nagasaki ketika Amerika Syarikat menggugurkan bom atom pada Perang Dunia II.
Bagaimanapun Otaki menolak dakwaan tersebut dan mengatakan adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan, kerana keputusan penemuan pasukannya pada rama-rama Fukushima tidak boleh langsung dikaitkan untuk spesies lain, termasuk manusia.
Beliau dan rakan-rakannya akan menjalankan kajian susulan termasuk ujian yang sama ke atas haiwan lain.
Belum ada seorang pun secara rasmi direkodkan meninggal dunia akibat kesan langsung bencana Fukushima. Bagaimanapun penduduk yang melarikan diri dari kawasan itu dan pekerja-pekerja yang terlibat dalam usaha memadam kebakaran loji, merasa bimbang terhadap kesan jangka panjang.
Saintis turut memberi amaran ia akan mengambil masa berdekad-dekad sebelum kawasan itu selamat untuk diduduki.