Mohamed Hussein Tantawi (kiri) bersama Presiden Mesir Muhammad Morsi.
KAHERAH - Presiden Mesir Muhammad Morsi telah memecat Ketua Angkatan Tentera dan Menteri Pertahanan, Mohamed Hussein Tantawi sekaligus membatalkan pindaan perlembagaan yang diusulkankan oleh pihak tentera untuk membataskan kuasa Presiden.
Morsi juga telah melantik Mahmoud Mekki, seorang hakim tinggi, sebagai wakil Penasihat Presiden.
Al-Jazeera melaporkan, juru cakap presiden Yasser Ali telah mengumumkan pemecatan itu dalam perjumpaan bersama wartawan di Kairo, Ahad (12/8/2012). Menurutnya, Tantawi telah digantikan oleh Abdel-Fattah el-Sissi sebagai Menteri Pertahanan dan Ketua Angkatan Tentera.
Menteri Pertahanan yang baru dilantik Leftenan Jeneral Abdel-Fattah el-Sissi mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mesir Mohammed Morsi di Kaherah, Mesir, Ahad, 12 OGOS, 2012.
"Pengumuman lain yang mengejutkan adalah apabila Sami Enan kemudiannya meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Angkatan Tentera dan dilantik sebagai Penasihat Presiden. Banyak persoalan yang timbul, apakah Mursi bersedia dengan keputusan ini. Dalam beberapa jam kita akan dapat lihat apakah yang akan terjadi. Semua ini berlaku dengan tiba-tiba dan sangat mengejutkan," kata wartawan Al Jazeera yang melaporkan dari Kairo.
Sejak kejatuhan Hosni Mubarak pada Februari 2011, Tantawi yang memimpin Dewan Tentera kemudiannya telah menguasai pemerintahan Mesir selama 17 bulan. Ketika di bawah pemerintahan Mubarak, Tantawi menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan selama dua dekad.