Katherine Jackson, ibu kepada bintang pop Michael dan Janet Jackson, telah dilaporkan hilang oleh pihak berkuasa pada malam Sabtu lalu.
Menurut CNN, peguam Jackson percaya dia hilang ketika sedang di dalam perjalanan bersama Rebbie Jackson, anak perempuannya.
"Saya bimbangkan keselamatannya," kata peguam Sandra Ribera. Katherine Jackson berusia 82 tahun.
Seorang jurucakap polis berkata bahawa laporan kehilangan orang yang telah difailkan oleh Trent Jackson, anak saudara Katherine.
"Laporan itu akan dirujuk ke Unit Bunuh/Hilang dan mereka akan mengendalikan siasatan," kata Lt Josh Thai kepada RadarOnline.
Ketiga-tiga anak Michael telah tinggal di bawah jagaan Katherine sejak kematian bapa mereka pada tahun 2009, kata Ribera. Ribera juga menambah bahawa Katherine tidak dihubungi cucunya sejak seminggu lalu.
Awal pagi Ahad semalam, Paris Jackson, anak perempuan Michael yang berusia 14 tahun telah menulis di dalam Twitter meminta bantuan orang ramai mencari neneknya.
Laporan kehilangan ini berlaku ketika pertikaian mengenai wasiat Michael sedang hangat diperkatakan, dan terdapat laporan yang bercanggah di atas tahap kesihatan Katherine. Adik-beradik Michael mendakwa wasiat Michael telah dipalsukan dan menyalahkan John Branca dan John McClain, selaku peguam penjaga wasiat harta pusaka Michael.
Michael dikatakan menamakan asetnya diletakkan kepada penjaga keluarga dan Katherine dinamakan sebagai penjaga ketiga-tiga anaknya.
"Sejak pemergian Michael, abang yang kita cintai ini, anda telah gagal untuk melaksanakan tugas anda sebagai penjaga wasiat harta pusakanya, tetapi apa yang anda tidak gagal ialah mengambil kesempatan ke atas ibu, bapa dan ahli keluarga yang bersedih," kata mereka di dalam surat kepada peguam penjaga wasiat tersebut.
Surat adik-beradik Jackson itu juga berkata bahawa Katherinr Jackson mengalami "strok ringan."
Paris Jackson, anak perempuan Michael kemudian membalas tweet kepada bapa saudaranya, Randy Jackson, dan menuduh beliau menyebarkan pembohongan.
"Saya ingin menjelaskan sekarang bahawa apa yang telah diperkatakan tentang keadaan nenek saya adalah khabar angin dan tiada apa yang berlaku, beliau dalam keadaan baik," balasnya di dalam twitter.