Rakaman CCTV menunjukkan mangsa rebah selepas ditembak sebanyak 4 kali.
JOHOR BAHARU: Seorang anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Nusajaya, Konstabel Snilus Lembik, 24, yang berasal dari Salim, Sibu, Sarawak dari bertarung nyawa selepas ditembak empat kali di luar sebuah pusat hiburan di Nusa Bestari pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 4 pagi semalam di pusat hiburan itu ketika berlangsung perlawanan akhir Piala Euro 2012 antara Sepanyol dan Itali.
Difahamkan bahawa anggota polis itu berada di pusat hiburan itu bersama rakan sekerjanya untuk menonton perlawanan tersebut bersama beberapa rakan lain.
Menurut seorang saksi, rakan mangsa yang juga seorang anggota polis telah pulang selepas menonton separuh perlawanan kerana mengantuk manakala mangsa terus berada di situ untuk menonton perlawanan bersama rakan-rakan lain dan mengambil beberapa minuman.
Punca tercetusnya pergaduhan antara mangsa dan rakan-rakan lain ialah kerana pasukan pilihannya, Itali mula kalah dalam perlawanan tersebut.
Mangsa mula mengambil pistol tetapi salah seorang rakan lelaki merampas pistolnya jenis Walther P99 dan menembak di bahagian perut sebanyak empat kali.
Pelanggan lain yang menyaksikan peristiwa tersebut telah menghubungi pihak polis yang kemudiannya memanggil paramedik.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Noor Hashim Mohamed yang mengesahkan kejadian itu berkata polis sampai ke tempat kejadian beberapa minit selepas dimaklumkan mengenai pergaduhan itu.
Rakaman CCTV menunjukkan keadaan pusat hiburan yang kelam kabut selepas mangsa ditembak dan orang ramai menghubungi pihak polis.
"Kita menahan empat lelaki berusia 18 hingga awal 20-an termasuk lelaki yang melepaskan tembakan itu," katanya.
Menurut beliau, Snilus yang kini berada di dalam keadaan koma ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah di sini.
Kes diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh yang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, ibu bapa Snilus sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan akan tiba di Lapangan Terbang Senai malam tadi.
Snilus yang masih bujang bertugas sebagai anggota polis hampir tiga tahun.
Seorang saksi menunjukkan lokasi kejadian dimana mangsa rebah selepas ditembak dan masih ada kesan tompokan darah.
Anggota forensik berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
Kredit - Bernama, TheStar, SinChew