Seorang lelaki terbunuh apabila bunga api meletup di hadapan mukanya kira-kira 30 minit lagi sebelum memasuki Tahun Baru Lunar pada hari Isnin lalu.
By Shaow Yong, 26, yang baru sahaja berkahwin bulan lepas dan isterinya dijangka hamil, telah meninggal dunia selepas hampir separuh kepalanya pecah di dalam letupan kira-kira jam 12:30 malam itu.
Sebelum kejadian itu, mangsa yang bekerja sendiri dikatakan menikmati makan malam tradisi bersama isteri dan ahli keluarga lain bagi meraikan kedatangan Tahun Baru Cina.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata Shaow Yong kemudian keluar membakar mercun seorang diri di luar rumah.
“Apabila mercun yang dibakarnya tidak memberi tindak balas, mangsa dipercayai memeriksa dari dekat. Bagaimanapun, mercun itu tiba-tiba meletup tepat ke mukanya.
“Keluarga mangsa yang terkejut mendengar bunyi kuat bergegas keluar rumah dan menemui Shaow Yong dalam keadaan tidak bernyawa dengan separuh daripada kepalanya hancur,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat.
Ahmad Sofi menegaskan, pemilikan mercun dan bunga api adalah menyalahi undang-undang mengikut Akta Bahan Letupan 1957.
Sumber : NST, BH.



0 comments:
Post a Comment