KEJAM...penemuan tong berisi mayat Koh dua tahun lalu di Kampung Parit Punggur Darat.
MUAR – Pihak polis berjaya memberkas empat individu yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki pada Mac 2009, lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohd Nasir Ramli berkata, usaha polis menjejaki kesemua suspek selama dua tahun berhasil melalui maklumat daripada orang awam.
Menurut polis yang berjaya menahan salah seorang suspek pada 25 November lalu, telah menyatakan rasa kesal dengan dosa yang dilakukan lebih dua tahun lalu dalam kes pembunuhan rakan sekampungnya walaupun keluarga mangsa sudah membayar wang tebusan RM100,000 ketika dia disoal siasat berhubung kes jenayah lain.
Koh Wei Seang yang telah dibunuh kejam pada dua tahun lalu.
Selepas dua tahun, bapa mangsa masih bersedih dengan peristiwa ini.
Pengakuan penganggur itu terbabit dalam kes culik dan bunuh Koh Wei Seang, 21, yang disumbat ke dalam tong dan disimen serta dicampak ke dalam parit di Kampung Parit Punggur Darat, Jalan Sri Tanjung di sini, membawa kepada tangkapan tiga lagi rakannya.
“Rentetan penangkapan itu, memudahkan pihak polis melancarkan gerakan untuk memberkas suspek lain yang ditangkap di sekitar Muar di antara 25 November hingga 5 Disember lalu.
“Kesemua suspek adalah lelaki berusia di antara 25 hingga 28 tahun, kini ditahan reman selama seminggu mengikut tarikh tangkapan masing-masing,” katanya dalam sidang media, semalam.
Difahamkan, kesemua suspek merupakan kenalan mangsa dan masing-masing tinggal sekampung di Muar.
Mohamad Nasir berkata, suspek bekerja sebagai jurutera, bekerja sendiri, nelayan dan penganggur.
“Pihak polis masih tidak dapat mengenal pasti motif pembunuhan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 Akta Culik 1961,” katanya.
Katanya lagi, dengan penangkapan kesemua suspek, pihak polis menganggap kes tersebut telah selesai.
Mengimbau kejadian pada Mac 2009 itu, seorang bapa menerima panggilan daripada suspek meminta wang tebusan sebanyak RM1 juta.
Tetapi, selepas tawar menawar, suspek bersetuju untuk menerima wang tebusan RM100,000.
Bagaimanapun, pada 20 Mac tahun yang sama, lima remaja menjumpai sebuah tong berbau busuk dalam sebatang parit di lokasi terpencil di Parit Punggor Darat, kira-kira 2.5 kilometer dari jalan utama.
Tong tersebut mengandungi mayat manusia berusia lingkungan 20-an dan hampir keseluruhan mayat itu dilitupi dengan simen.
Kredit : Sinar Harian