BEIJING - Pihak berkuasa kesihatan di selatan China berkata pada Jumaat lalu, mereka sedang menyiasat sebuah pasukan perubatan hospital kerana tersilap mendiagnosis kematian seorang bayi dan melupuskan bayi yang masih hidup.
Penyiasatan sedang dilakukan di Hospital Palang Merah Nanhai di wilayah Guangdong, bandar Foshan di mana kejadian itu berlaku pada 26 Oktober, menurut biro kesihatan Nanhai daerah dalam satu kenyataan yang difakskan kepada AFP.
Di dalam kenyataan itu, Liu Dongmei dilaporkan mengandung lapan bulan dan telah dikejarkan ke hospital dengan pendarahan dalaman dan kekejangan perut.
Beliau kemudiannya telah melahirkan secara kecemasan, tetapi bayi itu tidak bernafas dan tidak menangis selepas dilahirkan dan kulitnya telah bertukar menjadi ungu, menurutnya.
Percaya bahawa bayi itu telah mati, pasukan perubatan terus melupuskan bayi itu tetapi tidak mengikut prosedur hospital yang betul, tambah kenyataan itu.
Seorang pengarah, seorang doktor dan dua jururawat telah digantung tugas sementara menantikan keputusan daripada kecuaian kes ini.
The Foshan News, sebuah laman web tempatan melaporkan bahawa apabila kakak ipar Liu meminta untuk melihat bayi tersebut kira-kira 30 minit selepas dilahirkan, dia telah diserahkan sebuah beg plastik kuning yang mengandungi bayi itu dan mendapati ia masih hidup.
"Saya membuka beg plastik tersebut dan melihat tangan dan kaki bayi bergerak, perutnya naik dan turun dan gelembung udara keluar dari mulutnya," beliau berkata.
Dia terus terkejut apabila dia melihat bayi itu adalah seorang kanak-kanak lelaki dan bukannya perempuan seperti yang dilaporkan kepada keluarga.