Saat-saat seperti ini yang membuatkan saya bangga menjadi ahli kerabat diraja. Apabila saya membaca apa yang DYMM Sultan Pahang ucapkan, ia menitiskan air mata saya. Sepuluh Raja Malaysia - tujuh Sultan, Raja Perlis, Yam Tuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertuan Agong - adalah
Fidei Defensor Islam.
'Fidei Defensor' di dalam Bahasa Latin bermaksud
'Pertahanan Iman' - sama seperti
'Petra' di dalam Bahasa Latin adalah
'batu' (kini anda tahu mengapa saya degil dan keras kepala seperti batu).
Adalah baik apabila sekali-sekala Raja memberikan nasihat mengenai apakah perkara betul yang perlu dilakukan dan mengingatkan kita untuk tidak melakukan perkara yang salah, terutamanya jika tindakan tertentu itu melanggar undang-undang atau fatwa agama. Jika tidak Raja-Raja yang bersuara siapa lagi yang boleh bersuara, terutamanya apabila salah laku berkenaan dilakukan dikalangan Raja-Raja itu sendiri?
Adakah ia salah apabila berkata bahawa seseorang itu mesti diadili oleh seseorang dari kalangannya? Itulah cara sistem perundangan bekerja (walaupun Malaysia telah lama menamatkan sistem juri dan anda kini tidak lagi dinilai oleh rakan-rakan anda).
Rakan-rakan saya adalah rakan-blogger jadi biar kita sesama blogger menilai saya. Raja-raja, sebaliknya, perlu dinilai dikalangan-Raja-Raja sendiri. Saya dan anda tidak boleh menilai ke atas Raja-Raja.
Pada zaman dahulu, hanya Tuhan sahaja yang boleh mengadili Raja-Raja kerana Raja-Raja menerima arahan terus daripada Tuhan (syukur kerana sistem itu telah dihapuskan, kerana jika tidak Tuhan tidak mempunyai masa untuk membuat kerja lain kerana perlu menguruskan banyaknya kes salah laku Raja-Raja).
Jadi, kita perlukan Raja-Raja untuk bersuara apabila perlu. Terdapat banyak kesalahan yang dilakukan bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga oleh Raja-Raja.
Lihat judi, sebagai contoh. Usah pedulikan sama ada anda Islam atau Kristian, judi adalah haram bagi semua agama. Tetapi ramai rakyat Malaysia yang berjudi dan ini menyebabkan banyaknya masalah sosial. Ia menjadi satu masalah yang lebih besar apabila Raja-Raja juga berjudi, kerana mereka tidak berjudi dengan wang mereka sendiri, seperti Rakyat. Mereka berjudi dengan wang kita.
Sesetengah Raja-Raja pergi ke Amerika Syarikat, UK, Australia, dan lain-lain membazirkan berjuta-juta ringgit sehari di dalam kasino. Dan kerajaan terpaksa 'melindungi' kerugian daripada perjudian ini.
Tanyalah kepada dua sepupu ini - Hishammuddin Hussein dan Najib Tun Razak. Kedua-dua bapa mereka pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia dan mereka tahu berapa banyak masalah yang dihadapi oleh datuk nenek mereka dalam usaha untuk mengekalkan kedudukan Raja-Raja. Mereka berdua tahu berapa banyak wang kerajaan terpaksa dikeluarkan untuk membayar hutang judi Raja-Raja.
Jadi ia adalah amat baik apabila yang Mulia Baginda Sultan Pahang telah bercakap dan telah menasihatkan kita untuk tidak berbuat apa-apa perkara yang menyalahi undang-undang, haram atau berdosa. Kita memerlukan nasihat-nasihat seperti ini. Jika tidak, ramai rakyat Malaysia yang akan berbuat jahat. Dan ini akan menelan kos berjuta-juta duit negara dan berbilion wang pembayar cukai.
Apa yang Timbalan Perdana Menteri katakan juga amat benar. Terdapat percubaan untuk menggunakan perarakan BERSIH pada 9 JULAI 2011 untuk merebut kuasa melalui demonstrasi jalanan. Tetapi mungkin agensi perisikan tidak menasihatkan Muhyiddin dengan betul apa yang sebenarnya berlaku.
Beliau berkata, pembangkang menggunakan BERSIH untuk merebut kuasa. Sebenarnya ia tidak berapa tepat. Pembangkang tidak menggunakan BERSIH. Rakyat yang menggunakan BERSIH.
Sebenarnya, bagi kami Rakyat, kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang semuanya sama. Mereka semuanya ahli-ahli politik. Dan ahli-ahli politik hanya mementingkan diri sendiri dan berkhidmat untuk diri sendiri, bukan untuk Rakyat.
Ahli-ahli politik tidak boleh dipercayai. Sejarah telah membuktikan kepada kita. Lihatlah apa yang Bolshevik lakukan di Rusia . Mereka telah menendang Tsar keluar tetapi menjadi lebih buruk daripada Tsar. Polis rahsia Tsar telah membunuh 6000 penentang Russia. Apabila Bolshevik mengambil alih kuasa mereka telah membunuh 200,000 penduduk Rusia. Itu menunjukkan kita tidak boleh mempercayai ahli politik.
Perkara yang sama berlaku apabila mereka menyingkirkan Raja Louis XVI dari Perancis. Lebih ramai orang yang mati di tangan yang Revolusioner daripada di tangan Raja.
Jadi, tidak, saya sebagai rakyat tidak akan percaya dengan ahli-ahli politik. Jika kita tidak belajar dari sejarah maka kita dengan jelas sangat dungu. Dan sebab itu saya mengkritik pembangkang sama seperti saya mengkritik parti pemerintah. Saya mengkritik Anwar Ibrahim sama seperti saya mengkritik Najib Tun Razak. Kedua-duanya adalah ahli politik dan kita harus berhati-hati dengan kedua-duanya. Rekod sejarah 2,000 tahun lalu telah menunjukkan kepada kita.
Jika anda Kristian, dan anda mungkin pergi ke gereja hari ini (Ahad), anda percaya bahawa Jesus Kristus telah disalib. Siapakah yang menyalib Jesus atau telah pergi kepada kerajaan dan menuntut supaya Jesus disalib? Adakah ia bukan ahli-ahli politik yang bimbang jika Jesus akan menjadi terlalu popular dan melemahkan kuasa politik mereka?
Jika anda beragama Islam anda percaya kepada Nabi Muhammad. Siapakah orang-orang yang menganiaya Nabi dan pengikut-pengikutnya? Adakah ia bukan ahli politik, yang mengetuai kerajaan Mekah, yang takut bahawa mereka akan kehilangan kuasa jika mereka tidak bertindak menghalang Nabi?
Ya, semuanya ada di dalam sejarah, ahli politik telah mengkhianati kami dan telah membunuh mereka yang dilihat sebagai berbahaya kepada mereka, termasuklah nabi. Jadi, tidak, ahli-ahli politik tidak berada di belakang BERSIH. Kami tidak cukup percaya bahawa mereka berada di belakang BERSIH. Rakyatlah yang berada di belakang BERSIH. Dan kedua-duanya, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat harus mengetahui perkara ini dan mengingatinya.
Jadi Muhyiddin adalah salah jika memikirkan BERSIH adalah untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri seterusnya. Saya tidak akan bersetuju untuk itu. Saya akan menentangnya walaupun setiap rakyat Malaysia mengutuk saya dan mengatakan bahawa saya telah dibeli, telah melakukan satu pusingan U, pembelot, kuda trojan, atau apa sahaja.
Saya ulangi: ahli politik tidak boleh dipercayai. Mereka tidak pernah menjaga kepentingan Rakyat. Kami Rakyat perlu mengambil perkara ini ke dalam tangan kita sendiri. Kita perlukan reformasi pilihan raya. Jadi, kita memerlukan BERSIH untuk mereformasikan pilihan raya. Ia adalah untuk melihat piulihanraya yang bersih, adil dan bebas.
Siapakah yang akhirnya akan menang dalam pilihan raya itu - Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat - adalah perkara kedua. Apa yang penting ialah bahawa sesiapa sahaja boleh memenanginya dengan adil. Dan jika majoriti rakyat memilih Barisan Nasional, maka ia milik Barisan Nasional. Dan jika sebaliknya mereka memilih Pakatan Rakyat, maka jadilah ia. Tetapi ia mesti dengan pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.
Sudah tentu, jika anda tanya kepada saya siapak yang saya akan undi, tanpa sebarang rahsia mengenainya. Saya akan mengundi untuk Pakatan Rakyat. Tetapi ini bukan soal sokongan atau undi saya. Ia adalah mengenai memastikan proses pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.
Oh, dan satu perkara lagi, Muhyiddin berkata,
"Jika mereka mendakwa bahawa pilihan raya di negara kita tidak adil dan kotor, adalah mustahil untuk pembangkang menang di begitu banyak kerusi dan menawan beberapa negeri." Sebenarnya, jika pilihan raya itu bersih, adil dan bebas, pihak pembangkang tidak akan hanya memenangi banyak kerusi dan lima negeri, Barisan Nasional akan telah ditendang keluar sama sekali.
Jadi hujah Timbalan Perdana Menteri itu adalah sangat cacat. Hakikat bahawa pembangkang memenangi begitu banyak kerusi dan beberapa buah negeri bukan kayu pengukur untuk mengisytiharkan bahawa pilihanraya Malaysia bersih, adil dan bebas. Hakikatnya, Barisan Nasional yang masih berkuasa sehingga hari ini adalah bukti bahawa pilihan raya tidak bersih, adil dan bebas.
Kredit : m2day