KUCHING: Setiap kenaikan harga runcit, walau sekecil manapun, akan membebankan rakyat bawahan di Malaysia yang sudah pun terbeban dengan bajet keperluan yang ketat, menurut Wong King Wei ADUN Padungan yang baru.
Wong tidak bersendirian di dalam pandangannya ini dan semakin ramai pengguna yang risau dan prihatin di atas kadar peningkatan inflasi berbanding kenaikan gaji mereka.
Bank Negara baru-baru ini mengumumkan, inflasi akan meningkat dua kali ganda kepada 3.5% untuk tahun ini. Sekarang ia sudahpun mencecah 3%.
Bagi rakyat biasa yang berpendapatan RM1000, kadar inflasi 3.5% secara mudahnya membawa maksud ia akan kehilangan RM35 dari saku tanpa membeli apa-apa.
Dan jika kadar inflasi meningkat sehingga 5%, mereka akan kehilangan RM50, yang sepatutnya boleh digunakan, untuk keperluan beras, gula, minyak dan bawang selama beberapa hari untuk ahli keluarga.
Wong berkata:
"Kerajaan tidak boleh terus berbohong dengan situasi ini ... menghapuskan subsidi akan mempengaruhi semua rakyat biasa daripada berjalanan, makanan dan perbelanjaan.
"Kami tidak akan mendapat nilai untuk wang yang dibelanjakan. Nisbah pendapatan dan kos barang di Malaysia saat ini berada di tahap yang sangat tidak sihat."
Menurut Wong, wakil rakyat DAP di Padungan, dalam kitaran harga barangan pengguna sahaja telah membuatkan rakyat Malaysia kehilangan kuasa membeli mereka.
"Kita tertinggal dengan kebanyakan negara sekarang. Malah rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur yang biasanya memiliki kuasa membeli tertinggi berbanding rakyat Malaysia di tempat lain turut merasakan kesulitan itu.
"Itu semua ada di dalam 2010 Prices and Wages Report," katanya merujuk kepada fakta yang dikeluarkan Laporan UBS Switzerland yang mendedahkan Malaysia tertinggal di dalam saingan global di dalam hal kuasa membeli.
Berbanding Korea Selatan, Wong berkata 40 tahun yang lalu, kemapuan ekonomi republik itu setara dengan Malaysia, tetapi sekarang rakyatnya menikmati kuasa membeli 17% lebih tinggi berbanding Malaysia.
Rasuah dan kronisme
Menurut laporan itu, kuasa membeli penduduk KL hanyalah 33.8% berbanding penduduk New York, sementara penduduk London mempunyai kuasa membeli sehingga 42%.
Laporan itu mencatatkan walaupun harga barang di tempat ini adalah dua kali ganda berbanding di KL, kuasa membeli di Kuala Lumpur masih dua kali lebih rendah.
Menyalahkan kuasa membeli yang lemah kerana jurang di antara pendapatan dan kos barang, Wong berkata ianya
'perbandingan signifikan' dengan gaji di Malaysia.
Memburukkan lagi situasi ialah rakyat Malaysia harus berhadapan dengan
'rasuah dan kronisme'.
"Kek ekonomi di negara ini tidak diagihkan dengan sama rata dan adil ... dan ini adalah kerana rasuah dan kronisme. Alasan sebenar kenapa kerajaan mengurangkan subsidi adalah kerana mereka tidak mempunyai wang."
"Laporan Ketua Audit Negara tahun lalu mencatatkan bahawa rasuah, penyalahgunaan kuasa dan salah urus telah menyebabkan Malaysia dijangka kehilangan RM28 bilion sepanjang tahun." katanya.
Dia menambah penghapusan subsidi adalah cara kerajaan mengalihkan perhatian rakyat dari isu nyata - rasuah.
"Kerajaan tidak mempunyai wang kerana rasuah."
"Dengan menghapuskan kronisme dan rasuah, kita boleh mengambil langkah ke arah yang tepat dalam meningkatkan kuasa membeli dan menurunkan kadar inflasi
.
"Ini akan (pada akhirnya) meringankan beban rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka." katanya kepada wartawan baru-baru ini.
Kredit :FMT
************************************************************************
Kuasa beli kita merosot
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
bisnes @ utusan.com.my
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Kerajaan diminta melihat secara serius kemerosotan kuasa membeli di kalangan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan di tengah-tengah kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS) , sedangkan penyusutan mata wang paling berpengaruh di dunia itu sepatutnya memberi faedah kepada nilai ringgit.
Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali berkata, ini kerana penurunan kuasa beli itu menjadi petunjuk kepada ketidak seimbangan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran dalam sesebuah negara.
Beliau berkata, Malaysia menggunakan indeks inflasi yang terdiri daripada barangan kawalan dalam menentukan kestabilan ekonomi negara sedangkan kuasa beli adalah petunjuk sebenar.
Menurut beliau, secara rasionalnya apabila nilai ringgit meningkat, sepatutnya keupayaan untuk berbelanja di kalangan rakyat Malaysia lebih besar.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak berlaku, sebaliknya kemerosotan kuasa beli semakin terjejas sejak kebelakangan ini.
''Persoalannya mengapa rakyat kita tidak dapat menikmati kelebihan kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS dalam kuasa beli?.
''Jadi, mengapa kita perlu gembira apabila kejatuhan nilai mata wang, walhal nilai ringgit semakin tidak dirasai,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, tahap kuasa beli di Malaysia terlalu berbeza berbanding di Amerika Syarikat kerana sekurang-kurangnya rakyat negara itu masih berpeluang membeli lebih banyak barang di pasar raya walaupun nilai mata wangnya menyusut.
''Sepatutnya kuasa membeli di kalangan rakyat AS lebih sukar kerana mata wang mereka tidak memberi apa-apa makna, tambahan pula negara itu adalah negara pengimport tetapi mengapa mereka terus menikmati kuasa membeli?
''Jawapannya adalah model ekonomi negara itu jauh berbeza dengan Malaysia walaupun kita dalam proses ke arah itu.
''Di negara maju, lebih banyak rakyat berbelanja bagi barang tertentu, lebih murah harganya tetapi di Malaysia lebih banyak barangan tertentu dibeli, harganya boleh meningkat. Itu bezanya dan ia perlu diberi perhatian oleh kerajaan,'' katanya.
Sebab itu, katanya. rakyat Singapura masih boleh menikmati harga teh tarik S$0.80 secawan pada nilai mata wang mereka tetapi di Malaysia harga bagi minuman itu terus meningkat daripada RM1.00 kepada RM1.50 hingga RM1.80.
Singapura masih mampu mengekalkan nilai mata wangnya kerana strategi monetari negara itu yang meningkatkan dolar Singapura.
''Sebab itu, walaupun berlaku kenaikan dalam dolar Singapura, kuasa membeli di kalangan rakyatnya tidak terjejas, seperti di AS, tambahnya.
Berikutan itu, katanya, kerajaan perlu mengatasi masalah ini dengan segera kerana sekiranya dibiarkan ia boleh mengundang kepada ketidakstabilan ekonomi isi rumah tempatan.
Tegas beliau, kerajaan sepatutnya turut melakukan pemantauan barangan bukan kawalan yang sebenarnya menjadi barangan asas keperluan dapur, selain barangan kawalan.
Jelasnya, ia penting kerana barangan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian telah menunjukkan peningkatan melebihi 100 peratus.
''Kalau dibandingkan dengan tepung, berapa banyaklah yang digunakan oleh isi rumah berbanding keperluan seperti sabun mandi dan sabun basuh,'' ujarnya.
''Tiada ada gunanya kita bersorak kerana nilai ringgit lebih tinggi berbanding dolar AS, jika nilai ringgit tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat.
Katanya, dengan pendapatan sebanyak RM3,000 dan tinggal di Kuala Lumpur, jumlah gaji itu sudah tidak memberi sebarang makna kepada pekerja.
Sebaliknya, dengan gaji tersebut, pekerja yang tinggal di Kuala Lumpur boleh dikategorikan sebagai penduduk miskin kerana kos hidup yang tinggi dan penyusutan kuasa membeli.
''Apa yang anda boleh beli dengan RM100 di pasar raya sekarang kerana harga ikan pun sudah berbelas ringgit untuk setiap kilo, begitu juga dengan sayur, hampir semua barang naik,'' katanya.