
KAHERAH – Sudah dua minggu para penunjuk perasaan menentang Presiden Mesir Hosni Mubarak berkumpul di jalanan. Mereka telah merasakan segalanya, cedera, kotor, lapar dan kurang tidur. Sampai bila mereka akan bertahan?
Semangat puluhan ribu penunjuk perasaan masih berkobar-kobar. Keinginan menyingkirkan Mubarak begitu kuat tergambar di wajah mereka, malah berazam tidak akan berundur selagi rejim Mubarak belum tumbang. Itulah yang sering diucapkan mereka.
Malah rakyat yang berdemonstrasi rela menjadikan Tahrir Square sebagai rumah kedua. Namun, sampai bilakah mereka sanggup bertahan, menjadi satu persoalan penting di tengah krisis yang sedang melanda Negara Piramid ini. Pemerintah berusaha mencari jalan penyelesaian dari kemelut gelombang rusuhan yang bermula sejak 25 Januari lalu.
Penyelaras tunjuk perasaan yakin, demonstrasi ini perlu diteruskan demi menekan pemerintah, sekaligus melumpuhkan ibu kota Kaherah. Ada sedikit keyakinan, pemerintah akan memperbaiki demokrasi, bukan sekedar perubahan di peringkat atasan demi mempertahankan rejim Mubarak.
“Kami harus bertahan jika ingin pemerintahan rejim ini berganti. Seperti Revolusi Perancis yang mengambil masa yang lama, jika terpaksa kami akan melakukannya sepanjang hidup,” kata Ahmed Abdel Moneim 22 tahun, pelajar yang berkhemah di Tahrir Square beberapa hari terakhir ini.
Sentimen seperti ini tertanam di benak rakyat, terutama mereka yang berjuang bersama Ahmed. Namun, mereka kadang kala merasa terlebih optimis, terutama kerana kaum muda biasanya tidak yakin tentang kebenaran tindakan mereka dan bilakah semuanya akan berakhir.
“Setiap hari kami duduk di sini, melawan Mubarak,” kata seorang Jurutera Elektrik, Sharif Mohammed.
“Mungkin setelah sebulan, kami akan penat. Tapi, kami akhirnya boleh bebas dan merdeka sehingga ke akhir hayat,” sambungnya.
Bahkan di sebalik kereta kebal dan kawalan ketat di sekeliling Tahrir Square, terlihat pandangan mata yang pesimis. Rakyat mula kesal kerana aktiviti seharian mereka terganggu. Hal ini akan berterusan sehingga berlakunya perubahan.
Pemerintah mengambil peluang saat itu, dengan mengecam para penunjuk perasaan. Television nasional dan pelbagai media massa milik pemerintah Mesir menayangkan berita kesan buruk kerana aktiviti tunjuk perasaan terhadap situasi dalam negara dan pandangan dunia antarabangsa terhadap negara itu.
Walaupun penyelaras tunjuk perasaan mengeluarkan bantahannya, dalam sebuah kenyataan:
“Ramai masyarakat memberi respon positif apa yang kami lakukan serta tujuannya. Ini adalah matlamat rakyat Mesir secara umum dan tidak dipengaruhi faktor dalaman ataupun luaran dari pihak tertentu," .
Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan di Tahrir Square masih harus bertahan demi keinginan untuk hidup bebas. Malam demi malam, kelaparan dan penyakit mula menjadi hambatan besar di depan mata mereka. Cuaca Kaherah yang sedang dingin juga memburukkan lagi keadaan.
Tertekan dari serangan pihak polis, mula mempengaruhi dan membuat penunjuk perasaan makin ganas.
“Kelaparan mulai melanda. Tapi kami bersatu dan inilah yang membuat kami terus maju,” kata Omar Salim yang tidak berganjak selama empat hari terakhir di Tahrir Square.
Harga perjuangan ini juga amat mahal. Direkodkan 109 rakyat Mesir terkorban sejak tunjuk perasaan ini bermula. Ini membuatkan rakyat seperti Ahmed Mustafa 58 tahun, menolak untuk meninggalkan Tahrir Square. Anak lelakinya, Islam 26 tahun, tertembak di perut di hadapan Menteri Dalam Negeri, beberapa hari lalu.
“Negara ini tidak mempunyai kebebasan dan kepelbagaian pendapat. Negara ini tidak peduli dan membiarkan pemuda berusia 26 tahun terkorban begitu saja. Ramai pemuda yang datang ke sini dan sedia untuk terkorban seperti anak saya. Dan, saya juga bersedia (untuk terkorban),” tegasnya.