Atlet-atlet boling padang Malaysia dalam perjalanan untuk latihan dari kampung Sukan Komanwel di New Delhi pada 25 September, 2010.
NEW DELHI: Walaupun hanya tinggal lapan hari bermulanya Sukan Komanwel 2010 di sini, pegawai Malaysia masih belum berpuas hati dengan keadaan di perkampungan sukan berkenaan.
"Saya masih menaruh harapan, banyak lagi kerja yang perlu disiapkan (di tempat di mana atlet Malaysia akan menginap). Kerja pemasagan paip, bekalan elektrik dan kebersihan perlu diperbaiki.
"Kami harap segalanya akan siap menjelang Selasa ini apabila atlet kita tiba.Kami mendesak mereka (penganjur) menyiapkannya, ada beberapa kemajuan," kata pengurus besar Sukan Komanwel Malaysia, Jefri Ngadirin hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, makanan dan hal berkaitan kesihatan tidak menjadi isu kerana ia diberi perhatian sewajarnya oleh penganjur.
Delegasi Malaysia dengan tujuh anggota yang diketuai Jefri, tiba di Delhi dua malam lalu, untuk memeriksa keadaan venue dan zon kediaman atlet, selepas pihak penganjur sukan itu gagal menyiapkan segala kemudahan yang diperlukan mengikut tarikh yang ditetapkan.
Hingga hari ini, pekerja termasuk lelaki dan wanita, kebanyakan mereka dari beberapa negeri berdekatan, masih kelihatan bertungkus-lumus membersihkan ibu negara India itu yang akan menjadi tumpuan warga media dari seluruh dunia beberapa hari lagi.
Dari 3 hingga 14 Oktober, hampir 7,000 atlet akan berkampung di Delhi untuk mengambil bahagian dalam edisi kesembilan Sukan Komanwel yang julung kalinya diadakan di India.
Pasukan boling padang dengan 15 anggota adalah kumpulan atlet pertama Malaysia yang tiba di Delhi malam tadi dan mereka terpaksa menginap di sebuah hotel di bandar raya itu kerana bilik penginapan mereka di perkampungan sukan berkenaan masih belum disiapkan.
Mereka bagaimanapun berpindah ke perkampungan itu tengah hari ini dan memulakan latihan.
Malaysia akan menghantar kira-kira 200 atlet serta 90 pegawai ke sukan itu untuk mengambil bahagian dalam 14 acara.
Menurut laporam media di India, 150 flat perkampungan Sukan Komanwel disahkan masih belum boleh diduduki. Manakala segala sampah sarap dianggarkan seberat 40 tan belum dibuang dan 120 tan sampah sarap sudah dibuang setakat ini. Ketua Menteri telah memanggil mesyuarat tergempar di Delhi bagi menyelesaikan masalah ini.
Sumber : Bernama, The Times of IndiaJika anda minat artikel ini :