blog how to, blog trick, blog tips, tutorial blog, blog hack

Masukkan email anda:

Disediakan oleh: FeedBurner

PULAKDAH FRIENDS

Tragedi 22 Murid Di Kem 1Malaysia

Tuesday, October 27, 2009



22 Murid Dikhuatiri Hilang Apabila Jambatan Gantung Runtuh

KAMPAR, 27 Okt -- Seramai 22 murid dikhuatiri hilang akibat dihanyutkan air deras apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat sini runtuh pada kira-kira 10.30 malam tadi.

Kira-kira 20 murid lain terselamat apabila sempat berpegang pada tali jambatan dan ada yang diselamatkan oleh seorang guru dan pengawal sekolah berkenaan, kata jurucakap polis.

Murid-murid terbabit adalah antara 298 murid dari 60 sekolah ren
dah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1 Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.



Orang ramai melihat besi jambatan gantung yang tercabut di tempat kejadian menyebabkan 22 murid peserta Kem 1Malaysia Daerah Kinta Selatan dikhuatiri hilang dibawa arus sungai setelah jambatan gantung merintangi Sungai Kampar ke tapak perkhemahan yang terletak berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, putus dan runtuh, malam tadi

Sehingga awal pagi, usaha mencari dan menyelamat oleh polis, bomba dan penyelamat, Rela dan orang ramai masih belum menemui murid-murid yang hilang.

Seramai 59 murid kini berada di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang manakala sekumpulan lagi masih berada di tapak perkhemahan di seberang sungai berkenaan.

Sebahagian daripada jambatan gantung yang putus menyebabkan 22 orang peserta Kem 1 Malaysia Daerah Kinta dikhuatiri hilang dibawa arus sungai setelah jambatan gantung merintangi Sungai Kampar ke tapak perkhemahan putus secara tiba-tiba dekat Kuala Dipang, Kampar, Perak, malam tadi.


Ibu bapa murid berada di sekolah itu sejak tengah malam tadi untuk mendapatkan maklumat mengenai nasib anak mereka dan keadaan agak kelam kabut apabila beberapa ibu bapa tidak dapat menahan kemarahan apabila sehingga 3 pagi, tiada maklumat diterima sama ada anak mereka selamat atau tidak.

Nahas itu berlaku semasa sekumpulan peserta perkhemahan sedang menyeberangi jambatan berkenaan dari tapak perkhemahan untuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang bagi jamuan malam.

Seorang murid yang terselamat K. Mathivanan, 12, berkata kejadian itu berlaku secara tiba-tiba.

Katanya, ketika itu terdapat antara 30 hingga 50 murid di atas jambatan kerana ada yang hendak ke sekolah dan ada yang balik selepas jamuan.

Beliau berkata sebelum runtuh, jambatan berkenaan bergoyang kerana ada murid yang melompat dan bermain semasa berada di atasnya.

"Tiba-tiba kami tercampak ke dalam sungai dan saya sempat berpaut pada tali...air sungai sangat kuat tetapi saya dapat menarik badan untuk naik," katanya.

Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lepas bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini, kata seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Mathivanan berkata suasana seronok tiba-tiba menjadi keadaan kelam kabut dan ramai murid menjerit-jerit meminta tolong dan ada yang menangis.

Seorang guru Mohd Safri Abdul Rafar berkata beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.

"Saya terus melompat pagar dan terjun ke dalam sungai, saya sempat membawa naik tiga atau empat murid...air sangat deras dan saya sendiri hampir lemas dan terpaksa naik ke tebing," katanya.

Safri berkata beliau kemudian turun semula dan sempat membawa naik lima lagi murid.

Pengawal sekolah berkenaan yang dikenali sebagai Idris sempat menyelamatkan enam murid, katanya.

Katanya beliau sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyelamat seorang murid yang masih berpegang pada tali besi sebelum dihanyutkan air.

Perkhemahan itu bermula Selasa dan dijadualkan hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang Isnin, kata guru SK Seri Tronoh itu.

Seramai 23 guru terlibat dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya minggu lepas.

Perkhemahan yang sama diadakan serentak pada Selasa di Daerah Larut, Matang dan Selama serta Daerah Manjung, katanya.

Murid yang menyertai perkhemahan itu daripada pelbagai bangsa sejajar dengan objektif perkhemahan untuk mereka berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama seperti memasak masakan tradisional, mengikuti latihan kebudayaan dan bermain pelbagai jenis permainan rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang melawat tempat kejadian tengah malam tadi telah mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap kejadian itu.

"Jambatan gantung ini baru siap...jelas jambatan ini runtuh apabila tiang besinya terbongkah...kita mahu tahu sama ada ia dibina mengikut spesifikasi atau tidak," katanya.

Tiang besi dan bongkah konkrit yang mengikat tali jambatan di tebing sebelah sekolah berkenaan tercabut dan tercampak kira-kira 10 meter manakala sebahagian lantai jambatan masih berada di permukaan sungai.

Sungai Kampar terkenal dengan kegiatan sukan air lasak dan lebar sungai berkenaan di kawasan kejadian adalah kira-kira 30 meter dan sedalam kira-kira 1.5 meter.

Sumber --BERNAMA
Foto : Sya-reformis & Berita Harian
Read Full 2 comments
Related Posts with Thumbnails

Hot Blog

 

© Black Newspaper Copyright by Pulakdah! | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks