Kenangan bersama TG Haji Hadi dan Dr Sheikh Ibrahim semasa jamuan Aidilfitri tahun 2000. Muar ketika ini dibawah BN,Dr Sheikh Ibrahim pun belum jadi YB. Presiden PAS masa ini adalah Almarhum TG Ustaz Fadhil Noor. Jika dipersoalkan berkenaan dengan wala` (kesetiaan) kepada pemimpin, mereka ini menyatakan tidak habis-habis pro kerajaan perpaduan ni dengan wala`. Mereka ini merasakan mereka lebih pandai berbincang perihal wala`.
Konon jangan kita wala` kepada pemimpin secara membuta tuli. Memang kita tidak dapat nafikan perkara itu, bahkan dalam Al-Quran pun ada menyebut perihal wala` atau ketaatan kepada pemimpin ada batasnya. Hanya taat kepada Allah dan Rasul-Nya sahaja yang tidak berbelah bahagi.
Tetapi mereka yang sengaja mencari masalah dengan kepimpinan ini terlupa satu perkara, selagi kita tidak menyalahi Al-Quran, Sunnah dan Qias ijma` ulamak, nescaya kita perlu memberi kepatuhan kepada pemimpin. Bukan terus menghentam jika tidak dapat menerima pendapat orang lain.
Kerajaan perpaduanKemudi PAS berkocak dengan kuat selepas kehadiran “Kerajaan Perpaduan” yang di beri idea oleh Presidennya sendiri namun ramai dilihat menolaknya secara mentah-mentah kerana sifat melatah tanpa berbincang dengan Presiden terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan Kerajaan Perpaduan.
Konon ingin menjadi hero politik dan menjangka akan diangkat oleh ahli akar umbi sebagai pejuang sebenar dengan secara terang cuba melawan idea Presiden sendiri. Bagi mereka, Kerajaan Perpaduan yang dilontarkan oleh Presiden adalah salah, berdosa dan terkutuk. Sangkaan mereka hanya satu, Presiden dan timbalannya hendak ajak masuk Umno-BN.
Tuduhan meluluSetiap ceruk negara dijaja, Presiden PAS dan timbalannya ingin bawa PAS ke dalam Umno-BN. Tanpa bukti sahih, hanya cuma khabar dari akhbar pro Umno yang sudah sememangnya ingin melaga-lagakan kita, berdalilkan dengan blog-blog yang belum tahu dari mana asal usulnya, dan mungkin dari sebahagian kita yang cuba menangguk di air keruh demi mencapai agenda peribadinya.
Mereka hanya berdalilkan Presiden PAS dan timbalannya mengadakan perjumpaan diam-diam dan terus menuduh untuk Presiden ingin bekerjasama dengan Umno. Bagaimana mereka boleh bercerita yang bukan-bukan padahal mereka tidak bersama-sama dalam pertemuan itu.
Kalau ya pun, ada baiknya jika kita berjumpa dahulu dengan Presiden dan berbincang dan memberi pandangan mereka yang dianggap bagus itu. Selepas itu, bermacam-macam ulasan pedas dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk para blogger yang sentiasa mencari publisiti untuk kemeriahan blog dan webnya. Mereka ini cuba mengeruhkan keadaan tanpa mengikut saluran yang betul.
Rakyat menjadi haru-biru kerana komentar kita yang terlalu pedas tanpa mengambil kira kepentingan jamaah. Salah ke kita meminta dahulu kepastian daripada Presiden tanpa terlebih dahulu kita mengungkapnya dengan andaian yang tidak tepat. Jangan kita mengeruhkan lagi keadaan.
Mereka ini cuba mengulas dan mencoretnya dengan sesuka hati. Sehinggakan sanggup menuduh bermacam-macam tuduhan tidak berasas. Presiden dan timbalan sudah menjadi ahli Umnolah. Hinggakan mengusik peribadi pemimpin PAS dengan fitnah yang dahsyat yang boleh merosakkan jamaah.
Menangguk di air keruhMereka yang cuba menangguk di air keruh ini begitu gembira dengan “bom jangka” Kerajaan Perpaduan ini, terus menggerakkan “jenteranya” yang terdiri daripada blogger bagi menyerang Presiden parti sendiri demi kehendak peribadi yang kotor.
Secara logik, kenapa Presiden dan timbalannya diserang sebegitu rupa? Padahal mereka yang berlagak hebat dan pandai ini merupakan orang yang disegani yang sentiasa diusrahkan, sentiasa ditarbiyahkan dengan adab-adab beroganisasi dalam Islam. Mereka ini dididik dengan sifat pejuang yang sejati, yang mempunyai adab-adab berjamaah Islam. Tapi apabila nafsu telah menguasai diri, segala didikan dan tunjuk ajar telah hilang. Kemana perginya adab-adab ini wahai pejuang Islam?
Agenda disebalik tohmahanSelepas Pakatan Rakyat memperolehi kemenangan yang memberangsangkan dalam PRU 12, ramai dilihat di kalangan PR berlumba-lumba menjadi hero walaupun terpaksa mengenepikan prinsip jamaah sendiri. Jika beruntung, dapat juga jadi menteri jika PR menang dalam PRU 13.
Ramai di kalangan pemimpin PR yang menang dalam pilihanraya baru-baru ini sudah pandai berlagak. Mereka sudah merasa kuat dan besar kepala dengan ramai pengikut dan menang besar dalam pilihanraya. Hingga mereka lupa prinsip perjuangan parti sendiri dan menyanjung orang lain berbanding keluarga sendiri. Bukan salah tapi tidak beradab.
Konon sayangkan parti, tetapi secara diam-diam nampak seolah-olah ada agenda tersembunyi bagi menjatuhkan pemimpin yang boleh menyekat akan kepentingan kita.
Manakan tidak, jika ada yang membuat komentar yang buruk terhadap pemimpin PAS. Sehinggakan ada yang berani menyentuh peribadi pemimpin. Alangkah sedihnya PAS mempunyai pengikut sebegini.
Tuduhan terbaruSeolah-olah ada kerja-kerja belakang tabir yang ingin melemahkan pengaruh PAS dalam PR. Tidak dinafikan, PAS merupakan parti yang begitu lama berkecimpung dalam arena politik tanahair. Parti yang sudah muak dengan sepak terajang pentas politik yang mempunyai pelbagai ragam. Pemimpin silih berganti, dasar tetap Islam tanpa was-was hingga ke hari ini.
PAS dilihat parti yang berpengalaman di pentas politik dan dijangka akan menerajui Pakatan Rakyat demi memperjuangkan nasib rakyat Malaysia. Namun ada segelintir yang tidak dapat menerima keadaan itu cuba mencari point yang boleh melemahkan PAS secara tidak sengaja agar PAS dilihat tidak mampu menjadi pengendali PR.
Yang terbaru, Presiden PAS dilabelkan sebagai pro Umno dan merupakan bayang-bayang bekas PM, Abdullah badawi dalam PAS oleh pihak-pihak tertentu.
Rupa-rupanya belum reda lagi konspirasi ingin jatuhkan Presiden PAS dan timbalannya. Malahan lebih bertenaga dengan pelbagai tuduhan berat.
PAS merupa parti yang dipandu oleh Al-Quran dan Al-Hadis, bukan parti yang dipandu oleh pemimpin tertentu dengan sewenang-wenangnya. PAS bukan parti yang ikut suasana dan peralatkan agama untuk kepentingan politik. Mengikut sejarah politik tanahair, PAS tidak pernah mengkhianati kawan dalam sesebuah pakatan malahan PAS merupa pencetus kepada setiakawan. Semenjak penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Semangat 46 yang dirosakkan sendiri oleh parti lain dalam APU bukan dari PAS, Barisan Alternatif (BA) yang dicetuskan oleh Al-Marhum al-Fadhil Ustaz Fadhil Noor, bekas Presiden PAS. BA terdiri daripada PAS, DAP Keadilan. Tapi DAP melangkah keluar dari BA. Maka tiada lagi BA. Semuanya bukan dari PAS tapi dari rakan sekutunya yang lain.
Tapi sekarang, tertubuh pula Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP. Dalam PRU 12, beberapa buah negeri telah jatuh ke tangan PR.
Ustaz Idris Ahmad dalam sanggahannya terhadap kritikan pedas terhadap PAS, beliau berkata, “ kalau Tuan Guru Haji Hadi Awang gila sangat dengan umno, kenapa beliau menolak awal-awal lagi pelawaan Dato’ Seri Abdullah Badwi membentuk kerajaan bersama Umno selepas PRU 2008. Kalau beliau gila sangat dunia beliau tidak korbankan ijazah sarjana (MA) di awal tahun 1970 an. Kalau beliau hendak dunia lebih baik beliau menjadi ahli akademik, sewaktu itu berapa orang sangat yang ada kelulusan MA di negara ini ”.
“ PAS bertahalluf dengan parti yang berlainan ideologi adalah hasil ijtihad ulamak Pas yang bersandarkan hukum. Untuk pengetahuan Prof Aziz bukan senang hendak meyakinkan penyokong PAS berkenaan dengan tahalluf politik dengan bukan Islam. Bukan senang hendak menyuruh ahli PAS memangkah DAP, kerana selama ini kita telah diajar tidak boleh menyokong calon bukan Islam ”.
” Orang yang membuat kertas kerja tahalluf ini ialah Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang dan dibawa ke dalam majlis syura ulama’ dan diluluskan. Begitu juga ketika PRK Bukit Selambau Kedah kerana sudah ada di kalangan mereka yang tidak mahu membantu calon PKR dalam pilhanraya kecil tersebut kerana beliau ialah calon bukan Islam. Tuan Guru Presiden terpaksa dua kali buat perjumpaan dengan petugas di PRK Bukit Selambau “.
” Dalam soal kenyataan mengenai politik di Selangor seolah-olah Presiden berdiam diri, adalah tidak betul. PAS ada cara tersendiri dalam menyelesaikan masalahj ini. Kita tidak perlulah memberi tahu kepada Prof apa yang kita buat. Sepatutnya Prof kena tanyalah kepada orang yang berkenaan, jangan kumpul maklumat berdasarkan blog semata-mata. Kita tidak menggunakan media umno, untuk menyelesaikan masalah parti dan Pakatan Rakyat. Bila musuh pernah ehsan dengan PAS dan Pakatan Rakyat, kenapa hendak mendedahkan hal keluarga dalam media “.
Sanggahan pula dikutuk
Apa hendak jadi dengan segelintir manusia yang sering menimbulkan kekeliruan ini. Seolah-olah mereka suka ketua sendiri dihentam melainkan jika mereka memang mahu dengan rela hati menghentam dan menjatuhkan ketua sendiri dan ingin mengangkat orang yang sebulu dengan mereka dalam segala tindakan.
Memang adat, Ustaz Idris Ahmad cuba membela bosnya kerana ada pihak yang menghentamnya. Perkara biasa jika seorang anak buah akan membela bosnya sendiri dan mempertahankannya. Ada segelintir puak yang tidak senang duduk cuba sedaya upaya untuk memperlihatkan kepincangan dalam PAS. Bukan hanya Presiden dikecam, tapi Ustaz Idris yang membela bosnya pun dikecam. Apakah ini kerja orang PAS atau kerja orang luar yang ingin memecah belahkan PAS. Atau ada individu tertentu yang mempunyai agenda tersendiri dalam percatuan pergerakan PAS dalam PR.
Seolah-olah ada tangan-tangan yang tersembunyi ingin menidakkan Presiden PAS mengungguli dalam PR. Dituduh tidak cerdik, lembab, tidur, suka pergi luar negara hingga mengabaikan tugas Presiden dalam situasi PRK Bagan Pinang. Bermacam-macam tohmahan dilemparkan.
Mereka yang membuat tohmahan itu merasakan mereka tahu serba serbi. Konon mereka saja yang bekerja orang lain tidak. Padahal mereka tidak faham apa dia konsep gerakan Islam. PAS bukan semata-mata parti politik tetapi sebagai gerakan Islam yang diiktiraf dunia luar dalam peranan perkembangan Islam.
Islam bukan hanya layak di Malaysia sahaja tetapi seluruh dunia Islam wajib disebarkan. Peranan PAS yang dimainkan oleh Presiden sebagai kemudinya banyak diiktiraf dunia luar apabila Presiden diberi penghormatan dalam perjumpaan ulamak dunia dan lain-lain.
Siapa sebenarnya yang ingin sangat jatuhkan Presiden?
Tidak mampu saya membuat andaian bagi soalan ini, siapa yang menjadi dalang dalam perkara ini. Tetapi tidak salah saya memberi sedikit peringatan yang tidak seberapa bagi menjernihkan kembali keadaan dalam PAS yang menjadi parti pilihan orang yang ingin berjuang di jalan Islam.
Ingin saya lontarkan beberapa persoalan. Kenapa ada suara-suara sumbang yang bertungkus lumus menjatuhkan Presiden dengan mencela timbalannya? Dalam blog-blog pula yang kita tidak ketahui siapa sumbernya, tanpa segan silu dan adab, telah dengan terangan membuat tuduhan berat terhadap Presiden dan timbalannya termasuk setiausaha agongnya.
Kita ada banyak lagi tugas-tugas besar yang perlu dikedepankan, tapi kenapa kita pilih hentam ketua sendiri juga dalam agenda kita?Tidakkah pelik jika kita terlalu bersungguh-sungguh memburukkan orang lain yang belum tentu lagi kesalahan dia dari segi syarak?
Musuh telah menyusun bala tenteranya dalam menyerang kita tetapi kita telah memberi laluan mudah dengan membuka ruang menghentam bos sendiri. Adakah PAS sekarang sudah berada dalam Umno wahai sahabat sampai begitu sekali tuduhan kamu?
Jika kita ada kepentingan peribadi, buanglah jauh-jauh. Nanti mungkin boleh merosakkan parti kita sendiri dengan budaya tidak mempercayai antara satu sama lain dalam jamaah.
Kepada blogger pula, kenapa kamu sibuk sangat menuduh Presiden PAS. Apa agenda kamu? Hendak jatuhkan Presiden PAS? Tetapi siapa kamu hendak berbuat demikian? Presiden sudah dipilih dalam Muktamar dengan sebulat suara. Bahkan PAS ada Majlis Syuranya sendiri dalam membuat dasar perjalanan PAS yang terdiri dari kalangan cerdik pandai dalam agama. Bukan setakat guru KAFA atau guru agama Pejabat Agama. Mereka bukan diupah tetapi mewakafkan diri mereka dengan jamaah.
Tak sampai kemana PAS jika pergerakan pemimpinnya perlu diupah. Jika demikian, sudah lama PAS berkubur. Kerana PAS tiada sumber yang tetap dalam pergerakan partinya. Bagaimana anda boleh tuduh dengan sewenang-wenangnya orang yang sudah mewakafkan hidup mereka demi Islam walaupun mereka mempunyai anak bini dirumah.
Kepada yang suka mencedok berita yang tidak tahu puncanya kemudian terus mensensasikannya kepada umum, sanggupkah kita meninggal anak bini di rumah semata-mata ingin berjuang?Sudikah kamu mewakafkan diri kamu untuk perjuangan Islam. Jangan hanya senang menghentam orang yang kita tidak kenal siapa mereka.
Dosa pahala bukan hanya dalam bahagian ibadat sahaja. Dalam memilih pemimpin pun kita dililiti dengan dosa pahala. Bahkan yyang lebih besar lagi sengaja mengada-adakan benda yang tidak ada pun dikira dosa pahalanya. Bagaimana pula dengan memburukkan pemimpin sendiri tanpa ada bukti sahih yang menunjukkan tuduhan itu betul? Jangan hanya bercakap dosa pahala apabila kita berdepan dengan musuh politik kita tetapi adakah dosa pahala tidak terkena pada kita sendiri jika kita sentiasa mengadu domba orang lain agar terjatuh ke bawah kemudian diangkat pula kita sebagai pengganti.
Jangan kita jadi orang yang lebih suka rumah sendiri runtuh kemudian menyanjung rumah orang lain yang dibina atas tanah kita sendiri.
Sepatutnya bukan orang yang mempertahankan dasar Islam diminta meletak jawatan atau disingkirkan tapi orang yang sengaja memporak peranda dan tidak pandai menghormati pemimpin sendiri perlu meletak jawatan dan disingkirkan. Kerana merekalah ahli akar umbi menjadi bingung kerana nampak seolah-olah ada dua team dalam jamaah. Mereka telah mengajar rakyat bawahan berlaku biadab terhadap pemimpin sendiri walhal perkara sedemikian boleh dirujuk kepada Majlis Syura yang sudah dipersetujui bersama. Bukan dipengaruhi individu tertentu yang berkepentingan.
Mereka perlu bertanggungjawab di atas kecelaruan ini. Jangan kita sanggup memperlahankan kerja Islam semata-mata kerana ingin kemenangan pilihanraya yang tidak diberkati Allah jika kita mengabaikan Islam.
Allah lebih utama dari segala-galanya. Jangan kita hanya memikirkan kuantiti tetapi kualiti kita abaikan. Maka terjadilah seperti di Perak dan tempat-tempat lain yang hanya mencari kepentingan peribadi daripada kepentingan dengan Allah SWT.
Kita perlu meneliti bagaimana dalam perang Badar, tentera Islam hanya 313 tetapi tentera musuh 1000 orang. Tetapi dengan pertolongan Allah disebabkan kualiti keislaman mereka, maka Allah memberi kemenangan kepada tentera Islam.
Bagaimana Allah akan menolong kita jika kita mengenepikan hak-hak Allah dan mengutamakan kehendak manusia yang berkepentingan. Kembalilahh kita kepada ajaran Islam yang sebenar. Walaupun kita berada dalam jamaah Islam tetapi tiada adab sebagai pendokong jamaah Islam, maka tiada guna juga kita.
Imam As-syahid Hasan Al-Banna pernah berpesan kepada para pendakwah," Para da`ie diibaratkan sebagai sebatang pokok yang berbuah, manusia membaling batu ke arahnya, tetapi pokok akan membaling buah-buahan yang sedap dimakan kepada manusia". Begitu cantik nilai-nilai adab dala Islam yang berjuang demi Islam.
Sumber : WarkahDaily Online