blog how to, blog trick, blog tips, tutorial blog, blog hack

Masukkan email anda:

Disediakan oleh: FeedBurner

PULAKDAH FRIENDS

Krisis Politik Perak Ahmad Awang Sangkal Harussani

Tuesday, August 11, 2009
Maksud Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al Hujuraat- ayat 6)


Mengapa Saya Perlu Menjelaskan
Pada mulanya saya tidak bercadang hendak menyiarkan petikan sebahagian besar artikel yang ditulis oleh Zulkafly Baharuddin, Editor Milenia Muslim (MM), yang tersiar dalam keluaran bulan Ogos ini. Perkara ini saya sebutkan dalam posting terdahulu kerana segala penjelasan saya mengenai krisis politik Perak yang dibangkitkan dalam temubual Tan Sri Harussani Zakaria (TSHZ), Mufti Perak dalam temubualnya dengan saudara Zulkafly akan disiarkan sepenuhnya dalam majalah MM. Akan tetapi setelah mendapati beberapa kesalahan fakta dan beberapa bahagian jawapan/penjelasan saya terhadap pandangan mufti perak tidak disiarkan, maka saya memetik beberapa bahagian penting untuk disiarkan dalam blog ini dengan memberikan jawapan-jawapan sepenuhnya seperti yang dibuat dalam temubual saya dengan editor berkenaan pada 09 Jun 2009 di Pejabat Jamiyah Dakwah Islamiah Selangor, Jalan Rahmat, Kuala Lumpur, di samping membuat pembetulan atas kesalahan-kesalahan fakta yang disiarkan.


Editor MM Mungkir Janji
Sebenarnya pihak MM telah berjanji dengan saya supaya draf tulisan editor MM itu diserah kepada saya untuk disemak bagi mendapat kelulusan saya sebelum dicetak dan setiap penjelasan saya terhadap kenyataan TSHZ hendaklah dimuatkan sepenuhnya dalam artikel berkenaan. Selain itu, gambar kulit majalah MM itu mestilah diletakkan sepenuhnya gambar saya sahaja. Tetapi ternyata pihak MM telah mungkir janji. Saya hanya diberikan draf tulisan editornya setelah majalah tersebut dihantar ke percetakan. Beberapa penjelasan penting tidak dimuatkan dalam artikel tersebut. Gambar kulit pula disiarkan gambar saya bersama Tan Sri Mufti. Setelah berkali-kali saya menghubungi saudara Zulkafly, (editor berkenaan) beliau mengatakan artikel itu tidak boleh dibuat apa-apa pindaan lagi dan bila saya bertegas untuk berjumpa dan berbincang dengan beliau, jawapannya, perbincangan hanya boleh dibuat setelah majalah berkenaan diterbitkan. Terakhir beliau menghantar SMS kepada saya seperti berikut, “Salam. Saudara Zainuddin Ayib cadang selepas MM terbit minggu depan – ZulB”. Pesanan ringkas ini dihantar pada 20 Julai 2009 jam 2.55 petang. (Saya difahamkan saudara Zainuddin Ayib adalah orang yang bertanggungjawab atas penerbitan majalah berkenaan). Namun hingga ke hari ini, saya tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pertemuan dan perbincangan yang dijanjikan. Kali terakhir saya menghantar pesanan SMS kepada saudara Zulkafly pada 1 Ogos 2009, jam 5.31 petang.

Berdasarkan kepada tindak tanduk saudara Zulkafly itu, saya dapat membuat kesimpulan bahawa pihak Majalah MM tidak beramanah dan mungkir janji. Bahkan seperti cuba secara sengaja menyembunyikan beberapa fakta yang penting seperti yang saya jelaskan. Dalam hal ini saya ada rakaman video temubual saya dengan editor MM itu untuk rujukan.

Berikut petikan dari jawapan dan penjelasan saya. Dengan memetik semula beberapa soalan yang dibangkitkan dalam artikel “Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa”.


MM (keluaran Mei 2009) menulis mengenai pandangan TSHZ
...UMNO hanya memperoleh 28 kerusi, PAS 6, DAP 18 dan PKR 7 kerusi. Kata Datuk Seri Harussani, Ketua Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Mohd Ghazali, memintanya menyampaikan keputusan itu kepada Mursyidul Am PAS Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kerana ingin melihat cadangan itu yang akan membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan negeri yang kesemuanya Melayu dan beragama Islam buat pertama kalinya sejak Merdeka, malam itu juga dalam hujan lebat, Dato Seri Harussani membawa amanat itu ke Kota Bharu…

Dato' Seri Harussani berkata, Nik Aziz bersetuju dengan cadangan itu tetapi memberitahu bahawa kuasa pemutus tiada di tangannya. Ia di tangan Presiden parti, katanya.

Dato Seri Abdul Hadi Awang menelefon Dato' Seri Harussani pada jam 10 pagi 9 Mac memberitahu persetujuannya kepada cadangan UMNO Perak itu. Namun, kata Hadi pemutus buka di tangannya tetapi terletak di tangan Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Ahmad Awang.

Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu dan beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir. Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini.


MM (keluaran Ogos 2009) menulis mengenai pandangan Ahmad Awang
… Ustaz Ahmad Awang selaku Pesuruhjaya PAS Perak ketika itu, menyangkal dakwaan Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang mempersalahkannya dengan keengganan menerima tawaran UMNO Perak untuk membentuk kera¬jaan sehingga membawa kepada krisis keabsahan kerajaan negeri di Mahkamah Persekutuan. Beliau tampil dengan sang¬gahan balas bagi menjernih kekerohan salah tafsir mengenai peranannya di seba¬lik tabir krisis tersebut dan pendirian PAS Perak sejak awal 8 Mac 2008.

“Ia seolah semuanya berpunca dari saya. Membaca kenyataan beliau men¬unjukkan bahawa sahabat saya ini, Tan Sri Mufti adalah seorang yang mencam¬puri politik kepartian. Tiada lagi atas sifat non-partisan. Terang-terangan menye¬belahi UMNO. Sebagai seorang mufti yang diberi perkenan oleh sultan sepat¬utnya tidak boleh terlibat dengan politik. Malah secara peribadi beliau selalu meng¬ingatkan masyarakat Islam di Perak agar meninggalkan baju politik dan sangkut di luar pagar masjid.
“Maka analoginya juga pada hari ini, tidak sepatutnya mufti mencampuri uru¬san hal politik sungguhpun bekas Menteri Besar (MB) meminta beliau berjumpa Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jika beliau berhujah atas kepentingan Melayu Islam, itu masih dalam konteks politik. Sepatutnya jika beliau mahu campur tan¬gan, dia hanya perlu aturkan perjumpaan antara pimpinan UMNO yang diketuai Dato’ Seri Diraja Mohammad Tajul Rosli dengan kami pimpinan PAS. Setakat itu boleh dilihat yang beliau bersifat adil.

“Justeru itu, saya mahu menjawab “Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa” kerana saya tida k mahu fitnah ke atas diri saya sehingga sampai satu tahap di dalam kursus Biro Tatanegara (BTN) saya dituduh sebagai pengkhianat bangsa dan agama kerana menolak tawaran un¬tuk berpakat sesama Melayu Islam untuk membentuk kerajaan negeri.


MM: Boleh ustaz jelaskan siapakah sebenarnya punca Krisis Politik Perak hari ini kalau bukan ianya berpunca daripada ustaz seperti yang dikatakan oleh Tan Sri Harussani?

AA: Sebenarnya punca krisis politik Perak ini segala-galanya bermula dari UMNO Perak yang tidak bersedia menerima kekalahan mereka dalam PRU ke-12 pada Mac 2008. Sejak dari keputusan diumumkan oleh SPR yang menunjukkan UMNO/BN Perak hanya memenangi 28 kerusi dari 59 kerusi DUN Perak, mereka terus merancang untuk menggagalkan penubuhan kerajaan Perak dari pakatan parti-parti pembangkang PAS/PKR/DAP. Pada malam keputusan tersebut diumumkan UMNO telah menghubungi beberapa ADUN PAS untuk melompat parti dengan tawaran RM berjuta. Orang yang pertama mendapat tawaran itu ialah Ir. Hj.Nizar Jamaluddin, ADUN Pasir Panjang (kini Dato' Seri). Setelah saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak mengumumkan persetujuan PAS untuk bersama DAP dan PKR membentuk kerajaan di Perak, tidak berhenti-henti saya dihubungi oleh beberapa orang yang mewakili UMNO, diantaranya beberapa orang pegawai kerajaan. Bahkan saya ditemui oleh beberapa orang pemimpin PEKIDA yang saya percaya mereka mewakili UMNO. Saya mendapat maklumat pihak UMNO cuba mempengaruhi istana untuk membentuk kerajaan minoriti dengan 28 ADUN kerana parti-parti lain memperolehi bilangan kerusi yang lebih kecil dari UMNO/BN. Akan tetapi kami berjaya memintas dengan membuat keputusan menubuhkan gabungan 3 parti yang kemudian dikenali dengan Kerajaan Pakatan Rakyat. UMNO terus mencuba memujuk kami memujuk PAS dengan menghantar Dato' Zahid Hamidi untuk berbincang dengan saya, tetapi saya enggan berjumpa beliau. Beliau dan beberapa orang rakannya termasuk Dato' Amin Salleh, Ketua Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan gagal berjumpa saya kerana rumah kediaman saya di Simpang Empat Semanggol dikawal ketat oleh Unit Amal dengan dibantu oleh beberapa orang polis. Kejadian itu berlaku pada malam 16 Mac 2008, sehari sebelum majlis upacara mengangkat sumpah Hj. Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10.

Semenjak keabsahan penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak, UMNO Perak di bawah pimpinan Tajol Rosli menetapkan beberapa tarikh tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat. Apabila tarikh 31 Ogos 2009 yang diletakkan sebagai sasaran terakhir gagal dicapai oleh UMNO maka Tajol Rosli meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perak. Lalu Dato' Seri Najib mengambil alih jawatan tersebut dan bermulalah episod rampasan kuasa di Perak yang menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dengan cara yang begitu gelojoh dan tidak demokratik seperti yang pernah disebut sendiri oleh Tun Dr Mahathir. Bermula dari situ berlakulah suasana huru hara krisis politik Perak. Saya percaya semua perkara ini dapat disaksikan oleh Tan Sri Dato' Mufti Perak (penjelasan ini tidak disiar oleh MM).


MM: Apa penjelasan ustaz mengenai kenyataan TSHZ tentang ramainya orang melayu mengkritik sultan dalam kemelut politik di Perak dan ada antara mereka yang enggan mendoakan sultan dalam khutbah Jumaat?

AA: Dari kenyataan beliau itu, saya melihat ianya seolah-olah ditujukan kepada orang melayu dalam Pakatan Rakyat samada dari kalangan ahli-ahli PAS atau PKR. Kepada saya ia hanya merupakan tuduhan secara rambang kerana jika benar ada di antara mereka yang tidak mendoakan sultan dalam khutbah, perkara itu boleh diambil tindakan oleh pihak berkenaan. Tapi ia tidak pernah dibuktikan dan apa yang saya ketahui sepanjang saya menerajui pimpinan PAS di Perak selama 8 tahun, belum ada seorang pun khatib atau imam dari kalangan ahli/penyokong PAS yang pernah diambil tindakan kerana tidak mendoakan sultan dalam khutbah Jumaat.

Mengenai dakwaan TSHZ bahawa beliau tidak pernah masuk BN atau menyokong BN, tidak perlulah beliau berdalih bahawa beliau “terperangkap” dengan soalan wartawan di hadapan Menteri Penerangan kerana rakyat mengetahui bahawa beliau sendiri bersusah payah pada waktu malam hari bertolak ke Kota Bharu menemui Tok Guru Nik Aziz kerana memenuhi permintaan Dato' Seri Diraja Tajol Rosli, Ketua Perhubungan UMNO Perak masa itu untuk mengajak PAS menyertai BN. Seperti saya katakan, itu sudah terang-terang berpolitik bersama dengan UMNO/BN. Lagipun kalau bercakap supaya menyeru rakyat menyatakan kesetiaan kepada sultan, maka sepatutnya ketika pihak UMNO/BN berusaha hendak menumbangkan kerajaan PR yang diperkenankan penubuhannya oleh Duli Tuanku Sultan, sepatutnya TSHZ bersuara mengingatkan orang UMNO supaya tidak menderhaka kepada sultan. Apatah lagi kesemua ADUN Pakatan Rakyat seramai 31 orang telah berikrar secara bertulis, masing-masing bersetuju dengan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat dan perlantikan Dato' Seri Hj. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10. Ikrar bersurat itu dibuat atas titah Seri Paduka Tuanku Sultan. Sepatutnya TSHZ menasihati ketiga-tiga ADUN Pakatan yang keluar parti masing-masing, lalu menyatakan sokongan kepada UMNO/BN itu supaya tidak berbuat demikian kerana mereka boleh dianggap menderhaka kepada Tuanku Sultan sebab memungkiri ikrar masing-masing terhadap sultan. (penjelasan ini tidak disiar oleh MM).


MM: TSHZ berkata “Ini bukan kerja saya. Saya tiada kena mengena dengan politik. Kalau saya ketuk pintu istana, walaupun sultan bagi saya masuk, nanti sultan tanya apa hal? Awak masuk parti mana? Saya nak kata apa?”, demikian kata beliau ketika pihak PAS datang ke rumah beliau pada jam 11 malam meminta jasa baik beliau memohon Paduka Sultan supaya membubarkan kerajaan dan membuat Pilihanraya Negeri.

AA: Saya suka menegaskan bahawa apa yang TSHZ kata itu adalah tidak benar sama sekali kerana apa yang kami sampaikan kepada beliau pada malam itu (3 Febuari 2009) ialah permintaan isteri Dato' Nasarudin Hashim ADUN Bota yang diambil dari rumahnya oleh sekumpulan tertentu dan membawanya ke Putrajaya. Isteri beliau meminta kami berikhtiar membolehkan dia mengadap Raja Muda bagi menceritakan apa yang sebenar terjadi terhadap suaminya yang konon telah berpaling tadah semula kepada UMNO dan menyokong penubuhan kerajaan BN di Perak. Isteri beliau memberitahu pihak kami kumpulan yang datang dengan sebuah kereta mengatakan bahawa Tuanku Raja Muda meminta Dato' Nasarudin mengadap baginda, tiba-tiba suaminya berada di Putrajaya. Hasrat itulah yang kami sampaikan kepada TSHZ. Tidak timbul langsung meminta beliau berjumpa sultan mohon bubar DUN. Saya mengetuai rombongan bertemu beliau malam itu. Yang lain-lain ialah Dr. Khairuddin Dato' Abdul Malik (PAS), Cikgu Ismail Yusof dan Ustaz Zulkefli Ibrahim (PKR).

Saya masih ingat TSHZ berkata, “ Saya tak ada ruang sama sekali untuk menyampaikan hasrat tersebut kepada Tuanku Raja Muda, kerana seolah-olah jalan tertutup bagi saya disebabkan kini ada “orang lain” yang telah mengambil tempat saya duduk di sebelah tempat duduk Raja Muda. Dahulu sayalah orang yang boleh duduk di sebelah tempat duduk Raja Muda di dalam kereta baginda. TSHZ kata “orang” tersebut sangat tidak mesra dengan saya sehingga semasa sambutan Jubli Perak Duli Tuanku Sultan baru-baru ini pun, “orang” itu tidak bersalam dengan saya.” Nama “orang” berkenaan, beliau sebutkan kepada kami. Saya hanya boleh “quote” kan sebagai DSAZ sahaja. (Dalam pertemuan malam itu, kami tidak sebut langsung tentang hendak mengadap Tuanku Sultan)

Bersabit dengan kenyataan TSHZ bahawa Tuanku Sultan akan menanyakan, “… apa hal? Awak masuk parti mana?” Tidakkah TSHZ terfikir yang beliau sebok-sebok bersama UMNO ketika keputusan PRU 8 Mac 2008 dahulu yang Tuanku Sultan boleh bertanya seperti itu? Jelaslah beliau berfikiran tidak konsisten kerana pendirian politik beliau yang bias. (penjelasan ini tidak disiar oleh MM)


MM: Apa pandangan ustaz mengenai kenyataan TSHZ bahawa beliau dilantik sebagai EXCO tapi hanya berperanan sebagai penasihat sahaja kepada kerajaan, bahkan jika boleh mengundi pun, keputusan pasti memihak kepada orang bukan melayu kerana menurut beliau ada 8 EXCO Cina dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

AA: Kenyataan beliau itu boleh mengelirukan. Oleh itu prlu saya membetulkan faktanya iaitu TSHZ adalah dilantik sebagai mufti bukan sebagai seorang EXCO dalam kerajaan sejak kerajaan UMNO/BN lagi. Cuma jawatan mufti itu diberi taraf sebagai EXCO iaitu Mufti Perak, siapa pun yang menjawat jawatan itu mendapat kemudahan-kemudahan seperti yang diperolehi oleh EXCO misalnya kenderaan, elaun rumah dan sebagainya. Bahkan Mufti tidak merupakan seorang pegawai ex-officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang. Mengenai undi yang beliau mengatakan ianya akan memihak kepada orang bukan melayu kerana adanya 8 orang Cina dalam EXCO kerajaan Pakatan Rakyat, itu tidak benar kerana jumlah EXCO dari kaum Cina hanya ada 6 orang, bukan 8 seperti yang didakwa beliau. Tambahan pula sebarang keputusan penting yang dibuat dalam mesyuarat MMK terlebih dahulu ianya dibincang dan diputuskan bersama dalam Mesyuarat Majlis Penyelarasan antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, yang keputusannya dibuat tidak secara undi tetapi secara syura atau konsensus. (penjelasan ini tidak disiar oleh MM)


Seterusnya, ikutilah temubual saya seperti yang disiarkan dalam MM keluaran Ogos 2009 yang diolah tulisannya oleh Editor MM, Saudara Zulkafly Baharuddin dalam susunan yang tidak begitu kemas.

…“Hakikatnya, cerita yang sebenar ialah beliau (TSHZ) tidak pernah bertemu dengan saya ketika isu pembentukan kerajaan baru negeri Perak. Dia hanya menelefon saya ketika dia berada di Kelantan selepas men¬emui Dato’ Nik Aziz. Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang juga tidak pernah menghubungi beliau kerana Dato’ Abdul Hadi sendiri tidak mempunyai nombor telefon dia, sebaliknya Tan Sri sendiri yang menghubungi Dato’ Abdul Hadi, ” kata Ustaz Ahmad kepada Milenia Mus¬lim baru-baru ini dalam usahanya untuk menjelaskan keadaan sebenar.

MM: Tetapi mengapa ustaz menolak usaha tersebut?

AA: Bukankah selama ini, Tan Sri ke hulu ke hilir khasnya ke se¬bahagian besar masjid di seluruh negeri Perak menceritakan angkara 50 tahun kita merdeka, kerajaan yang sedia ada ini berkuasa maka ramai orang Melayu Islam yang murtad. Tan Sri sendiri kata mempunyai hubungan yang paling rapat dengan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga boleh telefon secara peribadi, mufti-mufti sendiri boleh berdialog dengan PM, buat memorandum kepada Majlis Raja-Raja mengenai isu murtad ini na¬mun akhirnya Tan Sri sendiri mengakui, semuanya tidak boleh diharap.

Sebab itu, Dewan Ulama PAS pernah datang ke pejabat mufti untuk menyatakan sokongan. Adakah Tan Sri hari ini hendak kami berpakat dengan mereka walau mereka semua Melayu? Ini hujah Tan Sri sendiri. Jadi atas alasan itu saya menolak usaha tersebut.

Walau Tan Sri mempersoal Datuk Ngeh Koo Ham dan Ngo Kor Ming ini adalah orang kafir yang anti Islam. Saya jawab ia di dalam pengetahuan saya. Saya ke¬nal mereka berdua bukan baru, sudah 10 tahun. Saya tahu dia beragama Kristian walaupun namanya adalah Cina.

Tetapi hari ini, DAP inilah yang men¬gajak kami walau dahulu kelihatan dia yang memusuhi PAS dan Islam. Kami beri syarat jika mahu bekerjasama maka jawa¬tan MB hendaklah di kalangan Melayu Islam sebagaimana tuntutan perlem¬bagaan negeri dan mereka terima.
Sebenarnya selama ini pemimpin Melayu sendiri sebelum ini yang menzalimi Islam. Saya pernah bekerja sebagai pegawai kera¬jaan dalam bidang dakwah, saya tahulah. Walau mereka DAP orang kafir, kita cuba dan kami boleh bekerjasama atas dasar parti dan kerajaan campuran.
Jika kemudian hari mereka menyeleweng dari persefahaman ini, bila-bila kita boleh tinggalkan bukan ada perjanjian pun.

Saya tidak boleh menerima dia kata Dato’ Abdul Hadi beri lampu hijau dan Dato’ Nik Aziz setuju dengan UMNO. Kerana sebelum pilihanraya bermati-mat¬ian UMNO dan BN yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan menan¬tu PM, Khairi Jamaluddin bergilir hari turun ke Kelantan untuk hancurkan kera¬jaan Kelantan yang dipimpin oleh Dato’ Nik Aziz.?

Logikkah esok hari, Dato’ Nik Aziz boleh berubah pendirian bersetuju ber¬pakat dengan UMNO? Sedangkan saya mengetahui pendirian Dato’ Nik Aziz sangat sensitif terhadap UMNO sehingga terbaru dalam isu kerajaan perpaduan seolah nampak percanggah antara musyi-dul am dan presiden sebagaimana yang dilaporkan oleh media. Orang yang sep¬erti ini, hendak kata dia boleh merelakan memberikan lampu hijau.

Padahal pada malam 8 Mac 2008, Datuk Husam Musa telefon dari Kota Bharu menyokong usul kami untuk berpegang pada ‘tahaluf siyasiy’ iaitu berfungsi dengan PR, hak demokrasi dan keadilan adalah hak kita untuk ber¬pegang bersama.

Hari esoknya Dato’ Nik Aziz hubungi bersetuju hatta kalau PAS tidak menjadi MB, kita akan teruskan bersama PR. Sampai kepada satu tahap DAP negeri juga sanggup keluar dari DAP pusat jika diminta untuk berbuat demikian. Malah dua hari kemudian, presiden parti meng-hubungi saya, “Ustaz perlu pastikan ia diteruskan, jangan pedulikan orang lain”.

Benar saya tidak bersetuju dengan UMNO untuk membentuk kerajaan negeri tetapi bukan sebab peribadi saya tetapi sebab dasar parti kerana kami telah membuat keputusan di peringkat negeri. Sudah ada ‘tahalluf siyasiy’ yang dilu¬luskan dari Majlis Syura.

Presiden dan musyidul am turut mengesahkan tindakan kami ini. Malah kami juga diperingatkan tentang kisah Perjanjian Hudaibiyah antara Rasulullah s.a.w dengan kaum musyirikin Mekah, walau ada terma-terma perjanjian berat memihak kepada golongan musyirikin tetapi Rasulullah s.a.w menerimanya un¬tuk strategi dakwah dengan lebih luas lagi dalam suasana damai.
Jadi saya ambil pengajaran ibarat jika bentuk kerajaan bersama PR. Biar dapat jadi exco asalkan boleh dekat dengan DAP un¬tuk berdakwah dan kerja-kerja Islam.

MM: Tidakkah ustaz melihat cadan¬gan UMNO untuk beri jawatan MB dan Exco kepada PAS untuk tubuh kerajaan adalah satu kelebihan ke¬pada PAS?
AA: Zahirnya begitu. Tetapi kita ada pengalaman bergabung dengan UMNO pada 1971 selepas kejadian 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak menjadi PM dan mengajak PAS duduk bersama untuk menjaga kepentingan Melayu Islam. Jadi PAS masuk semata-mata hendak bekerja untuk Melayu Islam. Tetapi apa yang ter¬jadi kemudian?

Apabila UMNO telah mendapat kekua¬tan semula, maka PAS ditendang keluar. Makanya pengalaman pahit ini PAS tid¬ak boleh lupa sehingga PAS kalah teruk dalam PRU 1978 dengan hanya tinggal dua kerusi parlimen.

Kali ini PAS ditawar jadi MB, Speaker, lima jawatan exco dan empat jawatan exco lagi dikosongkan. Dato’ Seri Tajol Rosli tidak akan duduk dalam kerajaan. Tetapi kita boleh percayakah empat exco ini akan terus kosong?

Esok bila dia sudah kuat, dia boleh tarik orang yang duduk dalam pembangkang untuk undi tidak percaya kepada kerajaan pimpinan PAS. Sebab kita sudah melihat apa yang dia buat sehingga berjaya tum¬bangkan kerajaan Terengganu tahun 1961 namun gagal mengulanginya di Kelantan pada tahun 1968.

Kesimpulannya, kita sudah baca se¬muanya sebab kita tahu jika betul dia minat kerja Islam dan hendak Pas mem¬impin kerajaan negeri mengapa tidak mereka menyertai PAS.

Bila saya dihubungi oleh Adun Se¬lama (UMNO), Datuk Daud Yusof, saya menjawab, Dato' bawalah masuk enam orang Adun UMNO ke dalam PAS yang telah ada enam kerusi Melayu (Islam) dan PKR ada tiga kerusi Melayu. Adun UMNO yang lain boleh jadi pembangkang UMNO tetapi kalau dapat 10 masuk PAS lagi baik, Melayu boleh jadi majoriti dengan 16 kerusi mahunya dapat lima kerusi exco. Tetapi beliau kata tidak boleh kerana Dato' Tajul Rosli tidak bersetuju. Saya menambah, kalau niat betul hendak beri PAS memimpin ini bukan masalah tetapi nampaklah ta¬waran tersebut sebenarnya untuk menjaga kepentingan UMNO sahaja.

Sekarang saya cabar, UMNO sudah memerintah dengan 27 Melayu majoriti, dua ADUN Bebas juga Melayu dan hanya dua bukan Melayu, Tan Sri Mufti sepatut¬nya pergi jumpa MB sekarang (Dato' seri Zambry Kader) dan nasihatilah dia supaya menegakkan Islam kerana jumlah ADUN melayu 93.5%. Bukan bangkitkan isu seperti ini. Punca huru hara, dari awal hingga akhir ialah UMNO langsung tidak boleh menerima kekalahan dalam PRU 12.

MM: Kalau tahun 1971 dahulu, pem¬impin UMN0 yang mengajak PAS bergabung dalam BN adalah generasi yang lepas tetapi tidakkah ustaz terfi¬kir generasi pemimpin UMNO pada hari ini mungkin lebih baik?

AA: UMNO hari ini, bandingkan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak dengan zaman Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi apatahlagi zaman Datuk Seri Najib terlalu jauh. Ini diakui sendiri oleh UMNO termasuk veteran parti itu.

Tunku Abdul Rahman menjadi PM walaupun kehidupannya sedikit sosial ke¬baratan tetapi dialah yang menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Tiada sesiapa yang berani ban¬tah sehingga berjaya Islamkan pemimpin MCA, Tun Omar Yoke-Lin Ong. Sekara¬ng cuba kita lihat, pemimpin dalam MCA berani pertikaikan Islam.

Saya masih ingat, cadangan saya di Pusat Islam kepada Tun Razak untuk membawa 10 orang pendakwah dari Lib¬ya dan melakukan kerja dakwah. Beliau menyokong dengan berkata “Buatlah apa yang baik, yang tuan-tuan fikir elok un¬tuk kerja-kerja Islam”.

Tetapi bermula dengan Tun Hussein menjadi PM, bila saya menyediakan ucapan peras¬mian untuk “Musabaqah Quran Tentera”, dia tanya kepada Setiausaha Akhbarnya Datuk Wahab Majid siapa yang buat uca¬pan ini?

Dia maklumkan kepada saya PM tidak mahu dan menyuruh membuang beberapa isi ucapan yang menyentuh mengenai bu¬daya arak di kalangan tentera walau saya buat secara ilmiah. Sedangkan sebelum itu, saya membuat ucapan Tun Abdul Razak tiada masalah malah ramai memuji uca¬pan tersebut.

Zaman Tun Mahathir menjadi Menteri Pelajaran, beliau menghentam kepimpi¬nan pelajar di Londan dan UK yang menyalahgunakan kemudahan Malaysian Hall untuk menjadi pusat dakwah yang didakwanya sebagai dakwah songsang.

Saya mempertahankan dengan menja¬wab bahawa sebelum mereka ini memegang kepimpinan persatuan pelajar, tiap-tiap minggu ada dibuat majlis tari menari dan minum arak di sana. Mengapa kita tidak protes? Jadi mana yang lebih baik antara keduanya?

MM: Apakah pencapaian Pakatan Rakyat dari segi Islam?

AA: Dalam masa 10 bulan sebelum kerajaan PR tumbang, pencapaian kita dari segi Islam antara lain ialah kita berjaya men¬gambil alih dua sekolah agama kerajaan negeri yang hampir-hampir diserahkan oleh kerajaan BN dahulunya kepada kerajaan pusat.

Apabila Kerajaan Persekutuan menarik balik ban¬tuan per kapita Sekolah Agama Rakyat (SAR), kita menganugerahkan tanah 1,000 hektar untuk dimajukan bagi pembiayaan 18 buah SAR melalui konsortium. Sama seperti sekolah Cina swasta juga 1,000 hektar, walau ada 8 buah sekolah tetapi bilangan pelajarnya lebih ramai daripada 18 buah SAR. Dahulu mereka dapat bantuan RM30,000 tahunan sedangkan SAR tiada bantuan kerajaan langsung.

MM: Mufti kata beliau tidak dapat memberi nasihat kepada kerajaan Pakatan Rakyat walaupun dia dilantik sebagai seorang exco.

AA: Sejak 10 bulan kita berkuasa, mesyuarat tidak pernah diputuskan dengan undi guna angkat tangan. Kita berbincang secara secara syura dan konsensus. Apa jua perkara penting, mesti dibincangkan dahulu di peringkat pelarasan tiga parti iaitu Majlis Pakatan Rakyat yang diwakili oleh tiga pimpinan kanan dengan dipengerusikan oleh MB.

Contohnya tuntutan DAP mahu per¬lantikan Timbalan MB untuk orang Cina dan orang India serta perlantikan Kulasegaran sebagai Datuk Bandar Ipoh mewakili orang politik bukan di kalangan pegawai kerajaan seperti kebiasaan namun apabila dibawa ke majlis ini ia digugurkan dengan persetujuan secara syura.

MM: Bagaimana dengan Geran Hal Milik Kekal Tanah 999 Tahun?

AA: Geran kekal 999 tahun untuk kampung tersusun dan kampung baru. Ini adalah termasuk satu daripada 10 tawaran manifesto pilihanraya PAS/PKR yang lalu. 70,000 lot tanah kampung baru Cina dengan keluasan tanahnya hanya meli¬batkan 3,000 ekar dan lot ini tidak boleh bertambah sejak zaman darurat lagi.

Manakala bagi kampung tersusun yang 80% majoritinya adalah Melayu diluluskan sebanyak 1,002 lot tanah (sebenarnya 102,000) yang melibatkan keluasan 7,000 ekar dan kampung ini boleh dita¬mbah. Tetapi UMNO tidak pernah sebut langsung mengenai kampung tersusun itu dan yang diwar-warkan ke sana ke mari adalah kampung baru cina sahaja.

Tentulah tidak adil kepada orang yang tinggal di kampung baru lebih 60 tahun sehingga ke anak cucu walaupun dia orang Cina, mereka bukan baru datang dari negara China dan tanah itu bukan tanah milik orang Melayu.

Padahal dalam 50 tahun UMNO/BN memerin¬tahlah paling banyak tanah rizab Melayu diambil untuk projek pembangunan dan tidak diganti. Seperti misalnya Syarikat Gula Per¬ak Berhad di kawasan Beruas dan Perak Manjung Simen Berhad yang kini sudah diambil alih YTL, ini syarikat Cina yang dibuat atas tanah rizab Melayu. Begitu juga Pemuda UMNO tidak pula bantah bagi tanah ber¬puluh ribu hektar yang diluluskan untuk Universiti Tunku Abdul Rahman di Kampar.

MM: Boleh Ustaz jelaskan mengenai hubungan baik dengan para pem¬impin bukan Islam?

AA: Kami dengan orang bu¬kan Islam bukan memberi ‘wala’ iaitu kasih sayang hidup dan mati selagi tiada pengkhianatan tetapi berdasarkan ‘tahaluf’ iaitu berjanji untuk sesuatu tujuan yang baik. Nabi pun bertahaluf tetapi tidak berwala dengan orang Musyirikin dan orang yang menun¬jukkan jalan hijrah baginda ke Madinah. Itu sebab dalam PAS, diputuskan oleh Majlis Syura Ulama membenarkan kita bertahaluf.


MM: Tapi mufti kata muslimat PAS berkasih sayang dengan Elizabeth Wong, exco kerajaan Selangor yang dituduh terlibat dalam perbuatan tidak bermoral.

AA: Dalam kes Elizabeth Wong, tidak salah kita menunjukkan simpati kita terhadap orang yang teraniaya. Malah kematian orang kafir Yahudi, rasulullah s.a.w. menganjurkan kita tunduk sebagai menghormati bani Adam tetapi tidaklah sampai mendoakan mereka masuk syurga. Lagipun dalam konteks politik ini ada sen¬inya sendiri iaitu memenangi hati orang.

Walaupun Tan Sri Mufti mengatakan sudah terang orang itu berbuat maksiat tetapi maksiat ini pun mesti di bawa kes ke mahkamah dahulu, bukan hanya berdasarkan anda¬ian surat khabar, internet dan blog. Bagi orang bukan Islam, kalau bersekedudu¬kan mungkin dalam budaya mereka sekadar tidak baik tetapi tidak boleh di¬takrif sebagai maksiat kerana dalam enekmen pentadbiran agama Islam, orang kafir tidak tertakluk pun dengan undang-un¬dang Islam, halal dan haram itu hanya ditaklif kepada orang muslim sahaja. Mufti pun tidak pernah bantah enekmen seperti itu.

Bagaimana pula jika Tan Sri Mufti ti¬dur, kain terselak dan orang ambil gambar, bolehkah dituduh Tan Sri Mufti berbuat maksiat? Itu sudah salah prinsip.

Apabila kita bercakap seperti itu kepada orang bukan Islam maka kita telah me¬letakkan persepsi zalimnya Islam kepada orang yang bukan Islam. Banyak benda yang Tan Sri Mufti kata sebelum ini yang saya boleh sokong sep¬erti pengharaman ke atas Bollywood dan konsert ‘Sure Heboh’. Tetapi dalam masa kerajaan UMNO/BN memerintah di Perak, mereka tidak pernah laksanakan fatwa mufti Perak itu. Malah apabila ada pemuda PAS menyebarkan risalah membantah konsert itu, mereka pula yang ditahan oleh polis dan mufti tidak berbuat apa-apa pun. Namun bila kerajaan pakatan rakyat memerintah, “Sure Heboh” itu tidak dilaksanakan walaupun mereka telah menetapkan tarikh dan tempatnya kerana mereka menghormati kerajaan Pakatan Rakyat.

Kami (PAS) bersama dengan Mufti Perak. Bila beliau dicabar untuk me¬letakkan jawatan dalam Perhimpunan Agung Parti Gerakan Wilayah Persekutuan. Saya atas nama Ketua Penerangan PAS ketika itu, dalam kenyataan akhbar dua muka surat memberikan sokongan supaya hal ehwal orang Islam tidak dicampur tangan oleh orang bukan Islam. Cuma kita minta Mufti jangan terlibat dengan politik.

MM: Bagaimana Ustaz melihat per¬anan Biro Agama UMNO?

AA: Pernah anda dengar Biro Agama Umno mencadangkan apa-apa sekarang? Nama Biro Agama UMNO pun sekarang sudah tidak pernah didengar. Belum pernah ada dalam sejarah pemili¬han UMNO, orang berkelulusan Islam tidak mendapat tempat untuk dipilih menganggotai Majlis Tertinggi UMNO seperti yang berlaku hari ini.

Dahulu Tan Sri Datuk Paduka Dr Ab¬dul Hamid Othman, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Tan Sri Wan Mokthar Ahmad. Mereka menduduki kerusi pimpinan tertinggi UMNO. Hari ini sudah tidak ada lagi. Men¬gapa Dato’ Dr Abdullah Mat Zin tidak dilantik sebagai menteri kabinet?

Tun Abdullah Badawi sendiri tidak melantik beliau sebaliknya ambil Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri. Mengapa kini Dato' Seri Najib ambil pula Mejar Jeneral Dato' Jamil Khir Baharom? Nampaknya jawatan ini hanya jadi boneka sebab tidak boleh berbuat apa-apa.

Sumber -
Read Full 0 comments

Isteri tidak yakin lelaki ditembak mati adalah Noordin

JAKARTA: Keluarga Noordin Mohammad Top yang berada di Johor tidak yakin lelaki yang mati ditembak polis Indonesia di sebuah rumah di Temanggung, Jawa Tengah pada 8 Ogos adalah Noordin, lelaki paling dikehendaki di Indonesia.

Setelah melihat foto yang disebar oleh pihak berkuasa, keluarga Noordin bertambah yakin bahawa lelaki yang mati ditembak selepas 17 jam dikepung itu bukan Noordin.

"Menurut keterangan dari keluarga, mereka yakin yang ia bukan gambar Noordin," kata Badarudin Ismail, lelaki yang dipetik oleh laman web detik.com sebagai jurucakap keluarga Noordin.
Menurut laporan Bernama, isteri Noordin, yang hanya dikenali sebagai Rahmah berkata, dia yakin lelaki yang ditembak itu bukan suaminya kerana struktur wajahnya berbeza sama sekali dengan Noordin.

Sabtu lepas polis Indonesia menembak mati seorang lelaki yang sehingga kini masih belum dapat dipastikan sekiranya dia adalah Noordin, lelaki paling dikehendaki di Indonesia kerana dikatakan menjadi dalang dan pakar bom yang disyaki terbabit dalam kejadian pengeboman Hotel J.W.Marriott dan Ritz Carlton di sini pada 17 Julai lepas.

Sementara itu sehingga malam ini polis belum mengeluarkan kenyataan mengenai sejauh mana proses pengesahan DNA jenazah lelaki itu sudah dijalankan.

Laman web itu melaporkan yang polis akan membandingkan DNA jenazah lelaki yang mati ditembak itu dengan DNA dari air liur anak lelaki Noordin yang sudah diambil polis Indonesia di Johor baru-baru ini.

"Jika DNA jenazah dengan DNA air liur itu padan, nanti isteri dan ketiga-tiga anak Noordin akan ke Indonesia," kata Badarudin yang enggan menyatakan hubungannya dengan keluarga Noordin.

Laporan AFP pula menyebut, Noordin masih bebas walaupun pihak berkuasa Indonesia sebelum ini menyebut dia telah ditembak mati dalam serbuan polis kira-kira 18 jam Jumaat lalu.

Analisis cap jari mengesahkan seorang lelaki yang terbunuh dalam serangan pasukan khas ke atas sebuah rumah di kawasan sawah padi di Jawa Tengah bukan Noordin, kata seorang sumber.

"Itu bukan dia. Kami tahu struktur wajah dan juga cap jarinya," kata sumber itu lagi.

Sumber - Mstar
Read Full 0 comments

Cara Politik Muhyiddin

Ramai yang melihat bahawa Muhyiddin sekarang galak menyerang Anwar!.
Tetapi jika mereka memahami sifir politik, maka seharusnya melihat ini merupakan cara politik Muhyiddin. Muhyiddin mengamalkan politik serampang dua mata. Kesinambungan kenyataan "Anwar Pengkhianat" ini disambut dengan perhimpunan NGO yang menyokong kenyataan Muhyiddin ini.

Muhyiddin sendiri dan orang-orangnya tahu siapalah dirinya untuk berdepan dengan Anwar. Dan siapalah sangat penyokong Muhyiddin berbanding ribuan penyokong Anwar. Apa yang saya rasakan himpunan NGO di bangunan Umno hari ini dan juga langkah beberapa bahagian Umno di Johor menyokong Muhyiddin itu adalah satu simbolik saja. Ia bukan bertujuan untuk mengutuk Anwar tetapi ingin memberi tahu dunia, Muhyiddin ada penyokong akar umbi.

Justeru pada saya himpunan itu mesej dari NGO dan Umno yang mereka sedia berdiri teguh dibelakang Muhyiddin. Berdiri ini bukan saja untuk berhadapan dengan Anwar tetapi dengan sesiapa juga bila perlu dan sesudah sampai masanya nanti.

Maknanya Najib harus hati-hati dengan majlis-majlis himpunan itu. Himpunan seumpama itu atas nama nak kutuk Anwar tidak harus dibiarkan. Kalau Najib tidak waspada ia akan merebak dan menjad himpunan lebih besar. Lama kelamaan himpunan itu boleh bertukar arah daripada mengutuk Anwar kepada mengutuk Najib.

Sedutan - mso
Read Full 1 comments
Related Posts with Thumbnails

Hot Blog

 

© Black Newspaper Copyright by Pulakdah! | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks