"Peserta demonstrasi ini bukanlah anak yatim yang merempat sehingga hilang jati diri" dan "kezaliman wajib dilawan, orang bacul tidak masuk syurga" - demikian jawapan PAS terhadap dakwaan Menteri Penerangan Datuk Seri Dr Rais Yatim (Gambar).
"Beliau merasa malu kerana penyokong Umno setiap kali hendak datang berhimpuan mesti dengan upah atau sekurang-kurangnya nasi bungkus," kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad.
"Beliau hendak menyamakan penentang ISA dengan penyokong Umno, yang memang seperti ayam daging. Kalau tidak diberi upah jangan harap untuk datang."
Menulis di blog peribadinya, Idris mengulas kenyataan Dr Rais seperti laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang memetik menteri itu sebagai berkata:
"Anak-anak muda yang mengambil bahagian ini secara sinis mengatakan mereka terima upah untuk berarak."(Pendedahan) ini agak mengejutkan pihak penganjur kerana mungkin tidak menyangka rahsia mereka akhirnya bocor juga."
Siasat pemberi upah
Idris juga menyindir NGO yang pro-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi tidak bersedia berhimpun petang Sabtu walaupun memberi ugutan untuk berbuat demikian, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).
"Kami rakyat yang berjiwa PERKASA bukan PEKASAM," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, edisi web Utusan Malaysia melaporkan perdana menteri mengarahkan polis menyiasat kemungkinan wujudnya pemberi upah.
Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak menolak kemungkinan perhimpunan tersebut didalangi pihak tertentu dengan upah.
"Mungkin ada. Kita minta polis siasat dan siasatan memang sedang dijalankan," Najib dipetik berkata.
Sumber :Malaysiakini